Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur datang lagi tahun ini dan kali ini ia tidak lagi diadakan di PWTC sebaliknya di MAEPS, Serdang.

Tidak seperti PWTC yang berdekatan dengan pelbagai stesen pengangkutan awam, MAEPS sedikit jauh.

Namun pastinya penganjur ada penyelesaiannya seperti penyediaan bas shuttle apatah lagi di MAEPS ini juga sering diadakan pelbagai acara besar seperti MAHA dan kongres usahawan.

Lokasi MAEPS di Serdang dan kawasan sekitarnya seperti Seri Kembangan-Bangi-Kajang ini dikelilingi oleh banyak pusat pengajian tinggi awam.

Dan swasta dan sewajarnya pusat pengajian tinggi awam dan swasta ini memberi sokongan penuh kepada penganjuran acara pesta buku ini dengan menghantar lebih ramai rombongan pelajarnya untuk mengikuti pelbagai acara yang diadakan.

Pesta buku ini pastinya ditunggu-tunggu oleh para penulis, pembaca dan peminat buku dan pastinya akan ada buku-buku terbaru karya penulis tempatan yang bakal dilancarkan di acara ini nanti.

Kita mengharapkan lebih banyak buku yang berkualiti dihasilkan oleh para penulis kita dan masyarakat mengambil manfaat daripada penghasilan buku-buku tersebut.

Masyarakat kita di Malaysia perlu lebih didekatkan dengan hal-hal keilmuan apatah lagi menjelang Wawasan 2020 yang bakal tiba tidak lama lagi.

Dalam keadaan situasi ekonomi dunia yang tidak menentu, lambakan program hiburan santai, krisis politik antarabangsa juga dalam negara, masyarakat perlu tetap menjunjung tinggi semangat membaca,berfikir dan mencintai ilmu.

Kewujudan masyarakat berilmu dan berfikir inilah perlu menjadi keutamaan negara kita dalam mencapai status negara maju.

Yang mencerahkan, bentuk pemikiran

Penganjuran pesta buku ini diharapkan dapat mencetuskan semangat mencintai ilmu khususnya dalam kalangan generasi muda kita.

Saban tahun penganjuran pesta buku kita dapat melihat kehadiran ramai anak muda, pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti yang memenuhi ruang.

Kepada merekalah tumpuan utama harus diberikan dalam menyuntik budaya membaca, berfikir dan mencintai ilmu dalam jiwa mereka.

Datuk Jaafar Rahim dalam tulisannya “Membicarakan falsafah buku” dalam buku karya beliau Dunia Pemikiran mengungkapkan bahawa:

“Penerbit tidak semata-mata menerbitkan sebarang buku asalkan laku. Para editor akan jelas dengan matlamat penerbitan buku. Pembaca pula terutama yang tercari-cari akan hakikat buku akan menemuinya dengan penuh kebijaksanaan.”

Kita juga mengharapkan para penerbit buku walau dalam keadaan situasi ekonomi yang tidak menentu dan persaingan dengan buku-buku elektronik dan terbitan di alam maya tidak berputus asa untuk tetap menerbitkan buku-buku yang mencerahkan dan membentuk pemikiran masyarakat.

Dan pastinya bukan untuk mengejar keuntungan semata-mata.

Di samping penjualan pelbagai buku di acara pesta buku ini, turut diadakan pelbagai sesi diskusi-wacana menampilkan penulis sendiri.

Peluang untuk menemui para penulis ini wajar disambut oleh masyarakat kita untuk mengambil semangat menulis seterusnya berazam untuk juga menulis buku suatu hari nanti.

Perkongsian ilmu antara penulis dengan masyarakat dan penulis lama dengan penulis baru juga wajar disemarakkan lagi melalui penganjuran pelbagai siri bengkel penulisan.

Platform penulis

Hasil bengkel penulisan ini nanti diharapkan dapat melahirkan lebih ramai penulis Malaysia yang berkualiti dan mampu menghasilkan karya-karya bermutu tinggi suatu hari nanti.

Generasi muda khususnya wajar diberi pendedahan awal tentang kaedah dan strategi untuk menulis dengan lebih berkesan seterusnya proses dalam menerbitkan buku itu sendiri.

Pastinya kita tidak mahu pesta buku ini sekadar menjadi tempat penjualan buku semata-mata dan oleh kerana itulah masyarakat kita perlu sama-sama menyertai dan turut serta dalam siri diskusi dan wacana yang dianjurkan.

Melalui diskusi dan wacana itu nanti diharapkan berlaku percambahan idea dan membuka minda kita untuk terus membaca, mengkaji, menganalisis fakta seterusnya menulis buku demi menyemarakkan lagi kegiatan ilmu dan tradisi intelektual.

Penganjuran pesta buku ini juga seakan menjadi satu platform menghimpunkan penulis yang berselerakan di seluruh negeri.

Ia diharapkan dapat menjadi himpunan yang mengeratkan hubungan antara penulis dan membentuk jaringan penulis yang saling bekerjasama memikirkan bagaimana mahu menghasilkan karya-karya berkualiti demi pembentukan pemikiran masyarakat.

Para penerbit buku juga dapat saling belajar dan membina kerjasama lebih erat dengan penerbit-penerbit lain demi memperkukuhkan industri buku tanah air.

Dengan pelbagai manfaat yang diperoleh, tidak hairanlah saban tahun penganjuran pesta buku ini diambil peluang oleh pencinta ilmu dan kaki diskusi untuk mengadakan pertemuan santai sambil lepak berdiskusi berkongsi hasil bacaan dan buku yang dimiliki.

Semoga pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur ini berjalan lancar. Jom ke pesta buku!

“Makna falsafah sesebuah buku ialah buku ialah ilmu, buku ialah pengetahuan, buku ialah pemikiran, buku ialah kemahiran dan buku ialah kemanusiaan,” tulis Jaafar lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS