Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM jamin gugurkan kes murtad rakyat S'wak, kata KM
Diterbitkan:  May 2, 2016 7:16 PM
Dikemaskini: May 3, 2016 3:01 AM

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan telah mendapat jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan kes murtad terhadap rakyat Sarawak, Rooney Rebit yang berketurunan Bidayuh.

Adenan merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang membenarkan Rooney keluar daripada agama Islam dan mengarahkan jabatan itu mempamerkan dalam kad pengenalannya.

"Saya telah bercakap dengan perdana menteri hari ini mengenai perkara itu, yang memberi saya jaminan bahawa rayuan oleh JPN akan ditarik balik," kata Adenan dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kolumnis Stephen Ng dalam komennya di Malaysiakini mengkritik Adenan dan mempersoalkan sama ada penganut Kristian akan mengundi ketua menteri itu dengan 'hati yang tulus', dengan memetik kes Rooney yang tidak dapat diselesaikan.

Adenan dalam kenyataan itu memohon maaf atas kelewatan mengumumkan resolusi kes itu.

"Saya mesti memohon maaf atas kelewatan kerana saya hanya mendapat tahu mengenai perkara itu hari ini," katanya.

Pada 24 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuching dalam semakan kehakiman memutuskan Rooney mempunyai hak perlembagaan untuk memilih agamanya.

Ia mengarahkan JPN menukar nama pemohon di kad pengenalan yang menyatakan "Azmi Mohamad Azam" kepada "Rooney Rebik" dan mengakui agamanya sebagai agama Kristian.

JPN menegaskan bahawa Azmi memerlukan surat pelepasan daripada Mahkamah Syariah untuk menukar agamanya tetapi Mahkamah Tinggi di Kuching tidak bersetuju.

Ibu bapa Rooney telah memeluk agama Islam ketika dia masih kecil.

Walaupun diiktiraf secara rasmi sebagai seorang muslim, Rooney bagaimanapun mengamalkan cara hidup sebagai seorang Kristian.

Pada 22 April, JPN memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS