P'RAYA S'WAK | Pertembungan antara sekutu Pakatan Harapan - DAP dan PKR - di Sarawak adalah satu situasi malang yang berlaku kerana kegagalan kepimpinan dalam pakatan pembangkang itu, kata Ketua Penerangan AMANAH, Khalid Samad.
Pertembungan antara kedua-dua parti itu di enam kerusi selepas pencalonan ditutup Isnin lalu, sepatutnya dielak sama sekali, kata Khalid kepada Malaysiakini .
"Tiada siapa yang dapat manfaat, selain BN," kata ahli Parlimen Shah Alam itu sambil menambah bahawa ia harus dijadikan iktibar agar tidak diulangi kesilapan yang sama.
Bagaimanapun, Khalid berkata situasi semasa tidak menunjukkan berakhirnya HARAPAN, yang ditubuhkan untuk menggantikan Pakatan Rakyat yang sebelum ini dianggota oleh PKR, DAP dan PAS.
Menurutnya, ia hanya bermakna bahawa terdapat isu-isu yang perlu ditangani.
Katanya, jika HARAPAN boleh melepasi ujian itu, walaupun ada kerusi di mana mereka bertembung antara satu sama lain, maka ia bermakna gabungan itu boleh kekal bersama dalam apa keadaan sekalipun.
Amanah Setiausaha Agung Anuar Tahir (bersetuju dengan Khalid dan berkata sebagai anggota termuda HARAPAN, parti itu telah membuktikan kesetiaannya terhadap gabungan itu, dengan menyelesaikan semua tuntutan kerusi bertindih.
"Kita (AMANAH) telah cuba yang terbaik untuk mengelak sebarang pertembungan dan kita berjaya. Kita tahu bahawa situasi seperti itu akan dieksploitasi oleh BN.
Ketika dihubungi, beliau menegaskan bahawa pihaknya mengharapkan agar kedua-dua parti itu akan menggunakan kebijaksanaan politik mereka dan mencari penyelesaian secara baik.
Sementara itu, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Mujahid Yusof Rawa mengakui mungkin ada rasa kecewa di kalangan penyokong AMANAH dan Pakatan Harapan ekoran situasi tersebut.
"Bagi AMANAH, kita adalah parti baru dan kita mengharapkan permulaan yang lancar (di Sarawak)," katanya sambil menambah bahawa sifat politik campuran adalah tindakan parti-parti tertentu akhirnya akan memberi kesan kepada seluruh gabungan itu.
Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, kekuatan sesuatu gabungan dinilai oleh, antara lainnya, keupayaan untuk menghormati perjanjian yang telah dicapai.
Dalam satu kenyataan media semalam, presiden AMANAH, Mohamad Sabu melahirkan keyakinan bahawa pemimpin DAP dan PKR akan melakukan yang terbaik untuk masa depan HARAPAN di Sarawak, dan juga di Malaysia.
Dalam percubaan pertamanya di Sarawak, AMANAH meletakkan calon di 13 kerusi majoriti Melayu-Melanau di mana ia akan berdepan dengan PAS dan BN.
PAS bertanding di 11 kerusi - meningkat dua kali ganda berbanding jumlah kawasan yang ditandinginya dalam pilihan raya negeri 2011.
Parti itu akan berdepan dengan AMANAH di Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.
PKR dan DAP pula berdepan dengan BN dan yang lainnya dalam pertandingan banyak penjuru di kawasan bandar majoriti pengundi Cina di Batu Kitang, dan juga di lima kerusi luar bandar majoriti Dayak - Mulu, Murum, Simanggang, Ngemah dan Mambong.
DAP menegaskan bahawa pertandingan lima penjuru di kerusi Batu Kitang tercetus selepas PKR memungkiri janjinya untuk tidak meletakkan calon di lima kerusi luar bandar berkenaan.
Sebelum itu semalam, DAP berkata ia tidak akan berkempen di Batu Kitang jika PKR akan melakukan perkara yang sama di lima kerusi berkenaan.