Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau menghormati presiden Indonesia yang digulingkan Soeharto kerana berjaya menyatukan Indonesia dan mengubah imej republik itu di mata dunia.
Sambil berterus terang mereka adalah kawan, Dr Mahathir mengakui bekas presiden Indonesia itu melakukan kesalahan tetapi katanya, tiada pemimpin yang sempurna.
“Saya hormati Soeharto kerana dia menukar Indonesia dari (sebuah) negara yg banyak maalah di zaman Soekarno tapi dia dapat kekalkan perpaduan di kalangan suku-suku kaum yang tinggal di Indonesia.
“Jumlahnya begitu banyak - pulau-pulau sahaja 13,000. Ini bukan satu negara yang mudah diperintah tapi dia tidak berpecah.
"Selepas Soeharto ambil alih, Indonesia tidak berpecah. Ada masalah sikit di Aceh tapi umumnya dia berjaya (memulihkan) imej Indonesia menjadi lebih maju.
“Ya, lah. Ada yang tak betul dilakukan, mana-mana pemimpin juga begitu," katanya dalam temu bual dengan CNN Indonesia.
Mahathir berkata, beliau sering bertemu dengan Soeharto semasa menjadi perdana menteri selama lebih dua dekad.
“Saya biasa dengan dia, selepas jadi PM saya berpeluang jumpa Pak Harto banyak kali dan kita ada perbincangan antara sahabat," katanya.
Mahathir dalam temu bual sebelum ini menitiskan air mata dan menganggap Soeharto sebagai "abang" beliau. Soeharto meninggal dunia pada tahun 2008.
Beliau meletakkan jawatan pada 1998 selepas 31 tahun di pejabat, selepas puluhan ribu pelajar universiti turun ke jalanan menuntut peletakan jawatannya di tengah-tengah krisis politik dan ekonomi.
Pemerintahannya sering digambarkan melalui ideologi Orde Baru, yang menyaksikan pelbagai sekatan ke atas masyarakat awam, dakwaan penipuan politik dan pemerintahan tentera.
Pemberontakan 'Reformasi' di Indonesia pada tahun 1998 menjafdi ikutan di jalan-jalan sekitar Kuala Lumpur, apabila Dr Mahathir memecat Datuk Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri di tengah-tengah krisis kewangan Asia.
Penyokong Anwar juga menerima pakai slogan "Reformasi" untuk gerakan mereka.
Pentadbiran Mahathir bagaimanapun bertindak tegas terhadap penunjuk perasaan dan menahan puluhan rakyat di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Antara mereka yang ditahan itu kemudian menjadi ahli parlimen dan pemegang jawatan utama di parti yang diterajui Anwar - PKR dan juga parti-parti politik.
Mereka sekarang termasuk Naib Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang kembali ke pangkuan Umno selepas dibebaskan dari ISA.