Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir rayu rakyat tandatangani deklarasi singkir Najib
Diterbitkan:  Apr 25, 2016 9:28 PM
Dikemaskini: 1:37 PM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini merayu rakyat pelbagai kaum supaya menandatangani Deklarasi Rakyat bagi menyelamatkan negara dan menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menulis di blognya hari ini Mahathir berkata kemungkinan untuk Umno memperbaiki keadaan atau menyingkir Najib sudah tidak ada.

"Yang jelas ialah tidak ada lagi harapan atau peluang bagi Umno menukar pemimpin dan menamatkan salahlaku Najib.

"Oleh itu hanya rakyat yang cinta dan sayang negara sahaja yang boleh bertindak.

"Saya rayu kepada rakyat tanpa mengira kaum atau parti supaya menandatangani Deklarasi Rakyat untuk menyelamatkan negara kita Malaysia.

"Lebih ramai sokongan kepada Deklarasi Rakyat lebih besarlah kemungkinan matlamat menamatkan kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri dicapai," katanya.

Mahathir berkata, Umno sudah tidak lagi diurus sebagai sebuah parti demokratik yang memberi hak kepada ahli dan pemimpin untuk memilih pemimpin.

"Ahli Umno sendiri tidak langsung ternampak mengambil berat akan masalah negara. Kebencian mereka kepada tokoh tertentu mengatasi kesayangan dan kesetiaan mereka kepada negara," katanya.

Menurut Mahathir, berbanding dahulu, presiden Umno boleh ditegur, dicabar dan ditandingi sementara ahli bebas mengundi mana-mana calon yang mereka sukai.

"Sekarang hak ini sudah ditamatkan oleh Najib. Sesiapa yang menegurnya dilucutkan jawatan dan ditamatkan keahlian. Dan bermacam tekanan lain dikenakan.

"Rakyat juga kehilangan hak melapor kepada polis berkenaan salahlaku Najib. Mereka akan disoal, ditangkap, dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah.

"Akhbar dan TV tidak boleh melaporkan berkenaan salahlaku Najib," katanya.

Mahathir sebelum ini mengetuai gerakan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil bagi memaksa Najib meletakkan jawatan.

Gesaan itu berikutan skandal membabitkan perdana menteri terutama isu kerugian 1MDB dan derma politik RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya

Bagaimanapun Najib menafikan tuduhan tersebut, malah peguam negara turut mengumumkan beliau bebas daripada sebarang salah laku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS