Seorang Senator hari ini meminta satu pekeliling khas dikeluarkan kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi memaklumkan keputusan Kabinet menerima masyarakat Siam sebagai bumiputera.
Senator Datuk Seri Boon Som a/l Inong berkata ini berikutan masih banyak jabatan dan agensi kerajaan yang gagal mengiktiraf kedudukan masyarakat Siam walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan anggota kabinetnya telah mengiktiraf minoriti Siam sebagai bumiputera.
"Dengan pengiktirafan ini, kami berharap benar untuk menikmati hak sebagai bumiputera. Tetapi nampaknya, bukan itu yang terjadi kerana sehingga kini, masih banyak jabatan dan agensi kerajaan yang kata masyarakat Siam bukan bumiputera," katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata walaupun banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah menerima pelajar Siam sebagai bumiputera, namun keadaan itu tidak berlaku di beberapa IPTA.
"Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan menerima pelajar Siam untuk masuk ke sekolah berasrama penuh, Kolej Matrikulasi dan Institusi Pendidikan Guru (IPG) atas kapasiti mereka sebagai Bumiputera, universiti awam juga menerima pelajar Siam.
"Namun, ia seperti tiada apa-apa makna apabila borang permohonan yang dihantar masyarakat Siam menggunakan kapasiti sebagai bumiputera ditolak jabatan dan agensi kerajaan atas pelbagai alasan yang bermaksud bahawa masyarakat Siam bukan bumiputera," katanya.
Beliau turut mencadangkan cuti tanpa rekod diberikan kepada penjawat awam berketurunan Siam yang menyambut Hari Songkran memandangkan sekarang ini mereka terpaksa memohon cuti tahunan jika sambutan itu jatuh pada hari bekerja.
- Bernama