Seramai 22 pemilik akaun laman sosial, laman sesawang dan blog didakwa kerana menyalahgunakan medium berkenaan untuk pelbagai tujuan sejak 2010 hingga Mac 2016, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.
Beliau berkata sehingga Mac lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyiasat sebanyak 32 kes penyalahgunaan internet dan media baru mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kesalahan yang dilakukan seperti penyebaran fitnah atau berita palsu menggunakan platform internet adalah tertakluk kepada undang-undang sedia ada seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan (Akta 574) selain Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya di Persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Boon Som a/l Inong mengenai jumlah akses internet di negara ini dalam tempoh lima tahun lepas serta bilangan rakyat Malaysia yang memiliki akaun media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Instagram.
Jailani berkata seramai 20.62 juta rakyat Malaysia memiliki akaun media sosial sehingga Januari tahun ini.
- Bernama