Dari segi moral memang adalah satu kesalahan bagi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membeli banglo di bawah nilai pasaran, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.
“Dia kena terima hakikat... Dari segi moral memang salah.
“Dia sebagai seorang penjawat awam, dunia tahu dia membeli satu aset pada harga yang tidak munasabah dan dia tidak mungkin mendapat harga itu jika tidak kerana jawatannya sebagai seorang ketua menteri, “ kata Annuar dipetik oleh portal Umno Online .
Beliau mengulas pembelian kontroversial banglo Lim di Jalan Pinhorn, George Town pada harga RM2.8 juta tahun lalu, yang menurut pengkritik adalah jauh di bawah nilai pasaran sebenar.
Lim yang menyewa rumah berkenaan sejak tahun 2009, berkata beliau mempunyai perjanjian dengan pemilik rumah tersebut untuk membelinya pada harga RM2.8 juta.
Pengkritik bagaimanapun mendakwa Lim ditawarkan rumah berkenaan pada harga yang rendah sebagai pertukaran untuk menjual tanah negeri di Taman Manggis.
Selamatkan Rahman
Antara pengkritik utama ialah Pengarah Komunikasi BN Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang mencabar Lim untuk berdebat secara langsung dengannya berhubung isu berkenaan.
Perdebatan itu bagaimanapun dibatalkan selepas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata tindakan berkenaan akan menjejaskan siasatan mereka ke atas ketua menteri itu.
Setiausaha Agung DAP itu sebaliknya berkata, alasan itu adalah usaha untuk menyelamatkan Rahman dari bersemuka dengannya secara langsung.
Annuar bagaimanapun berkata Lim yang amat memerlukan platform debat tersebut.
“Nak selamatkan Rahman daripada apa… yang sedang menghadapi masalah adalah Guan Eng. Rahman tidak ada apa-apa yang hendak dirugikan.
“Bagi saya ini semua hanyalah polemik politik,” katanya.
Menurut Annuar, perdebatan ini bukanlah satu perkara yang penting kerana ia tidak ada kena mengena dengan perkara sebenar.
“Saya percaya kalau dia bukan ketua menteri tidak mungkin dia dapat harga itu. Jadi biarlah dia hadapi apa yang sedang berlaku ini. Ini masalah dia… bukan masalah kita,” kata Annuar lagi.