Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Parti politik dilarang campuri hal ehwal sekolah
Diterbitkan:  Apr 14, 2016 5:44 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Kementerian Pendidikan melarang mana-mana parti politik daripada campur tangan dalam hal ehwal sekolah khususnya yang melibatkan kes buli atau sebarang bentuk keganasan kerana dikhuatiri ia akan mencetuskan situasi yang tidak harmoni.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebarang bentuk keganasan atau kes buli yang berlaku di sekolah akan diselesaikan oleh pihak sekolah atau pihak jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah yang terlibat.

"Kalau boleh kita nak elak dari sebarang campur tangan politik yang melampau kerana hal-hal sekolah ini hanya libatkan para pelajar dan di sekolah pelajarnya terdiri dari pelbagai kaum.

"Kita tak mahu orang lain pula jadi 'jaguh' atau hero dan bawa elemen yang tidak sihat seperti memainkan sentimen perkauman," katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Ke-55 di Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.

Sehubungan dengan itu Mahdzir juga meminta kerjasama pihak sekolah agar menyelesaikan terlebih dahulu kes tersebut bersama pihak yang terlibat sebelum dibawa kepada pihak atasan atau pihak luar termasuk parti politik.

"Jika boleh selesaikan dengan cara elok, kita pun sudah ada SOP (prosedur operasi standard) berkaitan isu ini... kalau boleh jumpa pelajar yang terlibat, selesaikan dahulu bersama ibu bapa dan pihak sekolah...tidak perlu menunggu siasatan selama dua minggu baru nak selesaikan masalah," katanya.

Dalam pada itu berhubung fenomen El Nino, Mahdzir berkata kemarau yang berpanjangan akan menyebabkan bekalan air bersih terputus di sesetangah kawasan yang kritikal.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau berkata pelan tindakan awal kementerian adalah melantik syarikat swasta untuk membekalkan air bersih ke sekolah berkenaan dengan lori tangki.

"Kalau masalah ini berpanjangan dan bekalan air bersih tidak lagi dapat disalurkan kepada sekolah terlibat (terutama sekolah berasrama), kita akan cuba tumpangkan dahulu para pelajar di sekolah yang masih ada bekalan air.

"Jika tidak, kita terpaksa tutup sekolah dan para pelajar akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Katanya, setakat ini tiada sekolah yang ditutup akibat bekalan air putus, namun pihaknya sentiasa memantau keadaan tersebut dari semasa ke semasa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS