Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembenihan awan hanya hasilkan hujan di Gemenceh
Diterbitkan:  Apr 14, 2016 7:44 AM
Dikemaskini: Apr 14, 2016 1:11 AM

Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dijalankan di 12 lokasi di lima negeri di Semenanjung semalam hanya berjaya menghasilkan hujan di kawasan tadahan di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata operasi di Empangan Timah Tasoh (Perlis), Empangan Muda, Pedu, Beris dan Ahning (Kedah), Empangan Air Hitam dan Teluk Bahang (Pulau Pinang), Empangan Bukit Merah (Perak) dan Empangan Durian Tunggal, Jus dan Asahan (Melaka) gagal menghasilkan hujan.

Bagaimanapun, beliau memberitahu Bernama bahawa OPA akan teruskan lagi hari ini di semua kawasan tersebut.

Shahidan yang juga timbalan pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata operasi itu dijalankan dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Abdul Najib Abdullah berkata paras air Empangan Timah Tasoh menyusut sebanyak 0.03 meter kepada 26.26 meter semalam dari 26.29 meter kelmarin.

Paras kritikal 26.50 meter.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS