Red Granite, firma Hollywood yang dimiliki oleh anak tiri perdana menteri, Riza Aziz menafikan sebarang aktiviti ‘meragukan’ berikutan siasatan Switzerland mendapati sebuah syarikat penerbitan filem menerima dana 1MDB.
Pejabat Peguam Negara Switzerland berkata mereka mempunyai "elemen" untuk mengesyaki dana AS$3.5 bilion 1MDB dibayar kepada sebuah syarikat di British Virgin Island untuk manfaat "sebuah syarikat yang berkaitan dengan industri filem.”
"Tidak pernah ada apa-apa yang meragukan mengenai mana-mana aktiviti Red Granite Pictures atau perniagaan Riza Aziz.
"Apa yang mereka lakukan dan akan terus lakukan adalah membangun dan menghasilkan filem-filem yang berjaya dan terkenal yang telah menjana lebih daripada AS$825 juta menerusi pendapatan box office di seluruh dunia," kata seorang jurucakap Red Granite kepada Finance Times .
Pejabat Peguam Negara Switzerland sedang menyiasat aliran dana pembayaran AS$3.5 bilion yang dibuat oleh 1MDB kepada Aabar BVI, sebagai sebahagian daripada pembelian loji kuasa Genting Tanjong.
Pejabat Peguam Negara Switzerland berkata mereka percaya dana berkenaan memberi manfaat kepada "sebuah bekas firma 1MDB" dan dua pegawai UAE yang berkaitan dengan International Petroluem Investment Corporation milik Abu Dhabi dan Aabar.
1MDB berkata firma itu memindahkan dana kepada Aabar BVI selepas diberitahu oleh pengarah urusan IPIC ketika itu, Khadem Al Qubaisi dan Pengerusi Aabar Mohamed Al Husseiny bahawa firma BVI adalah sebuah anak syarikat IPIC.
Walau bagaimanapun, IPIC dalam kenyataannya kepada Bursa Saham London Isnin lalu memaklumkan bahawa ia tidak memiliki Aabar BVI.
Red Granite memberitahu New York Times pelabur utamanya ialah tokoh perniagaan Abu Dhabi, Mohamed Ahamd Badawi Al-Husseiny.
The Wall Street Journal melaporkan dana 1MDB sebanyak AS155 juta dibelanjakan bagi pembikinan filem Hollywood 'The Wolf of Wall Street'. 1MDB menafikan perkara ini.