Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tahan Rafizi bawah OSA tidak wajar, kata badan hak asasi

Pegawai Eksekutif Amnesty International Malaysia (AIM) Shamini Darshni berkata penangkapan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli merupakan sekatan kepada hak asasi manusia.

Katanya, pihaknya bimbang apabila terdapat cadangan supaya Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dipinda dengan meningkatkan hukuman kepada penjara seumur hidup dan sebatan.

“Saya rasa Rafizi sedang dijadikan sebagai salah satu pengajaran apabila ia datang kepada kebebasan bersuara dan hak untuk mendapat maklumat secara keseluruhan.

“Di bawah OSA , kebimbangan kami terdapat cadangan pindaan di bawah OSA untuk memperkenalkan sebatan dan penjara seumur hidup,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Rafizi semalam ditahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) dipercayai kerana mendedahkan dokumen sulit yang menunjukkan kaitan antara 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.

Beliau ditahan sejurus keluar dari bangunan parlimen.

Terdahulu, Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebelum ini dilapor mahu meminda OSA bagi meningkatkan hukuman kepada mereka yang membocorkan maklumat rasmi negara dan wartawan yang melaporkannya.

Sementara itu Shamini berkata, penangkapan Setiausaha Agung PKR itu tidak wajar selain beliau tidak diwakili peguam ketika ditahan.

“Cara kejadian itu berlaku, dia telah ditangkap di luar di pintu masuk Parlimen dan kemudian polis pergi ke rumahnya untuk merampas komputer riba.

“Kejadian itu tidak wajar, nampaknya dia juga dinafikan hak untuk mendapatkan wakil perundangan beberapa jam pertama selepas ditahan. Sesiapa yang ditangkap, perlu ada wakil undang-undang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS