Nota: Malaysiakini mendapati berita bertajuk 'MB T'ganu tunggu masa untuk diturunkan - Ahmad Said' menerima bacaan tertinggi di kalangan pembaca pada hari ini. Sebagai makluman, ini adalah berita lama yang disiarkan pada April 2016.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kini sedang menunggu masa untuk diturunkan daripada jawatannya, dakwa ADUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said.
Ahmad Said berkata, beliau juga memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi meminta perkenan agar pertukaran menteri besar dilakukan.
Perkara itu akan dilakukan sebaik sahaja Sultan Mizan pulang dari luar negara, lapor akhbar Sinar Harian .
Malah, bekas menteri besar Terengganu itu juga mendakwa keadaan Umno di negeri itu turut dalam keadaan kritikal.
"Jangan sampai tuanku isytihar bubar DUN, (Kalau perkara itu terjadi) habislah. Keadaan sekarang Umno kritikal, kalau (dilakukan) pilihan raya, habislah. Jangan main-main.
"Jangan salahkan saya, saya telah beri ruang yang cukup. Saya sayangkan Terengganu. Apa yang dia (Ahmad Razif) buat semua saya tahu. Tunggu masa saya akan dedahkan, saya akan dedahkan perkara yang besar-besar yang pada saya ia merugikan kerajaan negeri dan rakyat," katanya.
Selain itu, Ahmad Said juga mendakwa, Ahmad Razif merupakan antara dalang yang terlibat dalam konspirasi menjatuhkannya sebagai menteri besar.
"Saya ' gentleman ', saya buat depan orang ramai (cadang usul undi tak percaya), marah dalam dewan. Yang dia (Ahmad Razif) buat pada saya? Saya tak nak cerita lagi tapi saya cerita sikit, dia yang terlibat menjatuhkan saya.
"Tapi ingat, insya Allah dengan kehendak Allah saya rasa menteri besar sekarang sedang menghitung hari. Apa yang jadi halangan sekarang kepada saya adalah Umno. Kalau saya tak fikir Umno, hari itu (masa letak jawatan sebagai menteri besara) saya dah keluar kerajaan.
"Sebab itu saya tunggu," katanya lagi.
Ahmad Said juga memberitahu, kerana sayangkan parti beliau tidak menghadap sultan untuk meminta pembubaran DUN sebelum meletak jawatan sebagai menteri besar dua tahun lalu.
Malah, katanya sekiranya pembubaran DUN dilakukan, beliau percaya BN akan kalah memandangkan kes 1MDB serta cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sedang hangat diperkatakan.
Beliau juga bimbang sekiranya BN kalah, negeri tersebut akan dikuasai pula oleh DAP.
"Kalau saya jahat, tak sayangkan parti, dalam kedudukan 17 kerusi BN dan 15 pembangkang (dalam DUN Terengganu), saya cuma perlu menghadap tuanku dan beritahu bahawa 10 orang (ADUN BN) sudah tandatangan surat letak jawatan dan minta DUN dibubarkan.
"Kalau bubar DUN dalam keadaan sekarang ini iaitu dengan kes 1MDB dan GST, kita (BN) boleh kalah. Saya sayang (parti), (khuatir) itu saja, takut DAP perintah. Kalau PAS, PKR tak apa lagi. Sekarang DAP yang berkuasa," katanya.