Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN dakwa tambang LRT baru di Puchong mahal
Diterbitkan:  Apr 1, 2016 5:27 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han berkata tambang empat stesen baru transit aliran ringan (LRT) di Puchong yang mula beroperasi semalam, amat mahal.

Ng memberi jumlah bagi perjalanan dari stesen Pusat Bandar Puchong, berdekatan dengan Tesco Puchong ke kompleks beli belah IOI Mall sebanyak RM1.40 sehala.

Jarak antara dua destinasi sejauh kira-kira 4.5 kilometer.

Sementara itu, tambang bagi perjalanan dari Pusat Bandar Puchong ke Taman Perindustrian Puchong pula ditetapkan pada harga RM1.20, dengan jarak kira-kira 2 kilometer.

  • Pusat Bandar Puchong ke Bandar Puteri RM 1.40
  • Pusat Bandar Puchong ke Puchong Perdana RM1.90
  • Pusat Bandar Puchong ke Puchong Prima RM2.20.

“Pagi ini (semalam) saya telah meninjau keadaan di stesen LRT baru yang berdekatan dengan Tesco Puchong bersama para wartawan.

“Didapati tambang LRT dari Tesco Puchong ke IOI Mall ialah RM1.40, ini amat mahal,’ kata Ng melalui laman sosial Facebook.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang menyediakan perkhidmatan itu bagaimanapun menafikan perkara itu.

Isu infrastruktur

Ng juga berkata terdapat juga beberapa perkara yang kurang memuaskan dari segi infrastruktur.

“Di samping itu, antara perkara yang kurang memuaskan adalah infrastruktur stesen LRT yang kurang sempurna, ketiadaan feeder bas dan tiada tambang percuma bagi tempoh percubaan kepada para penumpang,” kata Ng.

Bagaimanapun, Ng berharap penambahan stesen baru itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Puchong.

Empat stesen baru itu dilancarkan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar pada Isnin lalu.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) setakat ini telah membuka lapan daripada 11 stesen di bawah Projek Penyambungan Jajaran LRT (LEP) Ampang yang dibina serentak dengan sambungan laluan Kelana Jaya.

Tiga lagi stesen iaitu Puchong Perdana, Puchong Prima dan Putra Heights serta 12 stesen baru di bawah laluan Kelana Jaya kini dalam fasa terakhir pembinaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS