Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DUN Sarawak akan dibubarkan pada 11 April
Diterbitkan:  Mar 31, 2016 2:00 PM
Dikemaskini: 6:51 AM

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan pada 11 April untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-11.

Pengisytiharan pembubaran itu, ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri, akan diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, yang akan menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan pengundian.

" Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, telah bersetuju bagi pembubaran itu," katanya di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di Kuching.

Ini adalah kali pertama Adenan menerajui BN Sarawak dalam pilihan raya berikutan persaraan Taib sebagai ketua menteri selepas 33 tahun berkuasa.

Sebanyak 82 kerusi dewan undangan negeri akan dipertandingkan pada pilihan raya ini.

Ia meningkat berbanding 71 kerusi pada pilihan raya negeri lalu yang diadakan pada 16 April 2011.

11 kerusi baru adalah susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR pada tahun lalu.

Adenan yang berusia 72 tahun itu telah memanfaatkan kerusi baru berkenaan untuk menyelesaikan masalah berhubung pengagihan kerusi kepada SUPP dan SPDP serta parti serpihan masing-masing, UPP dan Teras yang mesra BN.

Daripada 71 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri ke-10, BN menguasai 55 manakala DAP 12 dan PKR tiga. Terdapat seorang wakil Bebas.

Menurut Klausa 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS