Pembebasan awal bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamed Khir Toyo dari penjara di bawah sistem parol menimbulkan perbincangan di pihak pembangkang sama ada mereka juga boleh berbuat demikian untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walau bagaimanapun, sebarang harapan itu tidak akan menjadi kenyataan kerana menurut Kementerian Dalam Negeri hari ini kesalahan meliwat tidak layak untuk parol.
"Semua kesalahan yang hukuman penjaranya minimum satu tahun layak untuk memohon untuk diparolkan kecuali kesalahan-kesalahan yang ditetapkan dalam Jadual Keempat Akta Penjara, 1995," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia antara lain menetapkan kesalahan yang dikecualikan bagi mendapat parol adalah di bawah Seksyen 121 kerana berperang atau cubaan berperang dengan Yang di-Pertuan Agong, Seksyen 194 kerana memberi kenyataan palsu dengan niat untuk menyebabkan seseorang lain disabitkan atas kesalahan yang membawa hukuman mati.
Turut dikecualikan adalah di bawah Seksyen 304 (a) iaitu menyebabkan kematian, Seksyen 376 kerana kesalahan merogol dan Seksyen 276B, Seksyen 377B dan Seksyen 377C iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Semua kesalahan itu adalah di bawah Kanun Keseksaan.
Anwar pada Februari tahun lalu dijatuhkan hukuman lima tahun penjara di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang dakwanya bermotifkan politik.
Anak Anwar, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata keluarganya tidak ada niat untuk memohon parol untuk Anwar sebaliknya mahu pengampunan penuh dan menegaskan bahawa ayahnya tidak bersalah.
Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan penjelasan untuk menjawap apa yang didakwa sebagai "kekeliruan" sistem parol yang hanya diperkenalkan pada tahun 2008 dan dianggap masih baru.
Semalam, Dr Khir dibebaskan dari penjara selepas menjalani enam bulan hukumannya dan dibenarkan untuk menjalani baki penjara dua bulan di bawah sistem parol.
Hukuman penjara setahunnya juga mendapat remitan selama empat bulan kerana "pemulihan memuaskan" di dalam penjara.
Kementerian Dalam Negeri berkata, sehingga 14 Mac tahun ini, sebanyak 12,550 banduan telah diberikan parol.