Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penapis hasilkan air minum terus dari sungai, paya

Prihatin dengan nasib mangsa banjir yang sukar mendapat bekalan air minuman mendorong Nor Hasrin Kassim mencipta sistem penapis air inovatif yang berkebolehan 'menghasilkan' air minuman terus dari sungai atau paya.

Nor Hasrin, 50, berkata air yang terhasil daripada sistem menggunakan 'penapis membrane' itu boleh diminum terus kerana sistem itu berkebolehan menghapus kuman seperti E.coli, menapis bahan berat besi dan membuang warna, rasa serta bau.

"Penapis air ini juga bersifat mudah alih kerana boleh dimuatkan ke dalam lori satu tan. Ini membolehkan bekalan air bersih dibawa kepada mangsa banjir," katanya selepas majlis penyerahan penapis air itu kepada penduduk Kampung Batu Balai Kerdau di Temerloh, Ahad.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya yang mewakili menteri berkenaan, Datuk Seri Madius Tangau.

Nor Hasrin berkata kampung itu dipilih sebagai lokasi pemasangan sistem penapis air berharga RM100,000 itu berikutan sering dilanda banjir.

Berpengalaman selama 30 tahun dalam industri berkaitan air termasuk pernah bertugas sebagai pengurus loji, Nor Hasrin berkata sistem itu mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dengan modal lebih RM300,000.

"Kejayaan menghasilkan sistem penapis air ini memberi kepuasan kepada saya kerana saya memang berniat mahu membantu mangsa banjir menggunakan kepakaran dan kemahiran yang ada.

"Sistem ini boleh beroperasi menggunakan tenaga elektrik dan jika bekalan tenaga terputus yang lazim berlaku semasa banjir besar, pengguna hanya perlu menyambungnya kepada generator," katanya.

Nor Hasrin menjelaskan sistem itu sangat mudah untuk dikendalikan, pengguna perlu mengepam air mentah ke tangki pertama dan apabila mesin 'dihidupkan', air mentah akan 'melalui' tiga tabung sebelum dikumpul di tangki air bersih.

Tabung pertama berfungsi sebagai penghapus kuman dan organisma mikro sebelum ke tabung dua bagi tujuan mencerna dan pelembut air manakala tabung ketiga akan menghilangkan bau, rasa serta warna.

"Air itu sekali lagi akan melalui sistem penghapus kuman sebelum dikumpul di tangki air bersih yang dilengkapi paip bagi memudahkan pengguna mendapatkan air," katanya.

Nor Hasrin berkata sistem itu berkeupayaan menapis air sehingga 3,000 gelen sehari.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata projek penapis air itu ialah satu daripada projek di bawah program Inovasi Sosial MOSTI yang dilaksanakan melalui Yayasan Inovasi Malaysia yang dapat memberi faedah kepada penduduk setempat.

"Ini dapat menyelesaikan masalah utama rakyat seperti bekalan air bersih yang merupakan keperluan asas dan keduanya kos murah dan sumber juga boleh didapati dengan mudah iaitu menggunakan air sungai dan paya," katanya.

Mohd Azhar berkata MOSTI berharap lebih ramai penginovasi dan pengusaha tempatan dapat menghasilkan ciptaan baharu bagi membantu menangani kesusahan masyarakat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS