Kongres Rakyat 2016 yang akan mendesak siasatan bebas dijalankan terhadap 1MDB dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan berlangsung di Shah Alam esok.
Kongres itu bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam, diilhamkan oleh bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim sebulan lalu, yang menggesa rakyat berdiri teguh di belakang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen untuk menyingkirkan Najib.
Walaupun pada mulanya ia digambarkan sebagai satu "perhimpunan", tetapi Zaid kemudiannya menjelaskan ia hanya atas "jemputan" kepada pemimpin dari parti politik, pemimpin pelajar dan anggota masyarakat sivil.
Katanya, hanya mereka yang mempunyai keberanian untuk bersuara terhadap apa yang sedang berlaku di negara ini, akan dijemput termasuk pemimpin cawangan Umno yang tidak sehaluan dengan kepimpinan parti itu.
Acara itu akan merupakan perhimpunan terbesar gerakan para pemimpin berprofil tinggi yang anti-Najib - dari gabungan parti pemerintah dan pembangkang, serta aktivis masyarakat sivil - sejak Deklarasi Rakyat ditandatangani pada 4 Mac.
Sehingga kini, menurut Zaid, senarai jadual mereka yang akan berucap termasuk Dr Mahathir, Timbalan Presiden Umno yang digantung Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar Kedah yang disingkir Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Presiden AMANAH Mohamad Sabu, Presiden Hakam Datuk Ambiga Sreenevasan dan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah.
Kesemuanya, sejumlah 19 individu akan berucap esok, kata Zaid, dengan proses pendaftaran para perwakilan bermula pada jam 12.30 tengahari dan ucapan pembukaan pada jam 1.50 tengahari.
Beliau menjangkakan semua ucapan berakhir sekitar jam 6 petang, dan selepas itu mereka akan mengadakan sidang akhbar.
Dr M yang terakhir berucap
Zaid berkata, Muhyiddin dan Dr Mahathir akan merupakan yang terakhir berucap, dan dianggap sebagai kemuncak kepada perhimpunan tersebut.
Sebelum ini, beliau juga memberitahu Malaysiakini mungkin terdapat sejumlah besar ahli Umno yang akan menghadiri perhimpunan tersebut kerana ramai di antara mereka meminta jemputan.
"Saya telah memberi sebanyak (jemputan) yang mampu dimuat dewan tersebut," katanya.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin telah memberi amaran bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadap mana-mana anggota pergerakan itu yang didapati menghadiri perhimpunan tersebut.
Cuepacs juga telah menasihatkan ahlinya supaya jangan terbabit dan "tidak terpengaruh dengan sentimen seperti penyingkiran kerajaan".
Berikut adalah senarai penuh mereka yang akan berucap di perhimpunan itu, mengikut gilirannya:
1. Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim
2. Pemimpin pelajar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
3. Bekas pemimpin pelajar, Fahmi Zainol
4. Ahli Parlimen (MP) Kuala Langat, Abdullah Sani .
5. Naib Pengerusi nasional DAP, Teresa Kok
6. Bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan
7. Bekas Setiausaha Agung MIC, Datuk S Murugesan
8. MP PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar
9. Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah
10. Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa
11. Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub
12. Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli
13. Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir
14. Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid
15. Presiden AMANAH, Mohamad Sabu
16. Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang
17. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali
18. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
19. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
Malaysiakini akan membuat liputan secara langsung esok.