Menjelang pilihan raya Sarawak yang semakin hampir, perang maskot telah bermula dengan pelancaran maskot Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) - Lebah.
Lebah berwarna kuning yang memegang sebuah perisai bulat, dilancarkan oleh SUPP pada 14 Mac.
Ini selepas DAP Sarawak melancarkan maskot rasminya bernama 'Pahlawan Ubah' baru-baru ini.
Menurut laman web rasmi SUPP, Presidennya, Senator Datuk Sim Kui Hian berkata lebah dipilih kerana ia melambangkan kerja keras, perpaduan, dan kerja berpasukan.
"Mereka yang membuli SUPP, kami akan sengat mereka.
Lebah, katanya, selalu bekerja dalam perpaduan.
"Jangan membuli kami, atau kami akan sengat anda. Ini adalah maskot kami," kata Sim di majlis pelancaran maskot tersebut.
Selepas SUPP melancarkan maskot lebah, ADUN DAP Pending, Violet Yong Wui Wui memuat naik gambar burung memakan lebah, sebagai bayangan bahawa maskot burung kenyalang DAP "Ubah" akan memakan maskot SUPP, lebah.
Beliau juga berkongsi gambar racun serangga dan seekor lebah dari laman Facebook 'DAP mesti menang dalam pilihan raya Sarawak' dan bertanya sama ada lebah boleh menang pilihan raya Sarawak memandangkan racun serangga boleh membunuhnya.
Terdapat juga grafik yang diedarkan di Facebook menunjukkan seekor lebah dengan kapsyen "jangan buli SUPP atau kami akan sengat kamu." Kemudian muncul maskot DAP 'Ubah' dan membuka mulutnya untuk makan lebah.
Terdapat satu lagi gambar orang hutan dan lebah dengan kapsyen 'burung kenyalang dan orang hutan adalah haiwan yang mewakili negeri Sarawak, mengapa pilih lebah dan bukan orang hutan?'
Setiausaha Penerangan dan Publisiti Pemuda SUPP pusat, Milton Foo dalam temu bual dengan See Hua Daily News membidas serangan DAP terhadap SUPP, dengan menganggapnya sebagai "kebudak-budakan".
"Apa yang kita usahakan adalah agenda politik kita dan ia bukan satu jenaka.
"Saya tidak fikir rakyat ambil berat dengan serangan ke atas maskot kami. Apa yang rakyat lebih ambil berat dalam tempoh lima tahun akan datang ialah apa jenis pembangunan yang kita boleh bawa kepada mereka," kata Foo.
Beliau berkata SUPP tidak akan menyerang maskot lawan atau berjenaka mengenainya.
DAP pada awalnya melancarkan maskot burung kenyalang 'Ubah' dan dinaik taraf kepada 'Ubah pahlawan' untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.