Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, parti itu akan menyokong sekiranya terdapat usul undi tidak percaya di Parlimen terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, jika Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membentangkan usul itu, PAS akan sokong dan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan turut berbuat demikian.
"Di Parlimen tak naik (usul undi tak percaya pada Najib). Kalau naik mungkin kita akan sokong.
"Usul itu tak naik. Kita sokong kalau ada usul untuk undi tak percaya. Kita akan sokong tapi biar la ada dulu usul itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Di tanya sekali lagi sama ada PAS akan menyokong sekiranya usul itu dibentangkan oleh pembangkang di Parlimen, beliau dengan ringkas berkata: "Ya, PAS akan sokong," katanya.
Selain itu, ditanya mengenai usul undi tidak percaya di Terengganu, Takiyuddin berpendapat bekas menteri besar Datuk Ahmad Said sepatutnya melakukan perkara itu mengikut prosedur.
"Usul Terengganu bagi kita, tak harus dibawa cara itu. Ada cara nak bawa undi tidak percaya termasuk jika di Parlimen sendiri.
"Nak bawa usul undi tak percaya boleh tapi ada prosedur yang kena ikut. Kena ada cukup tempoh notis," katanya.
Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak akan terlibat dengan mana-mana usaha menukar menteri besar jika ia hanya melibatkan isu perebutan jawatan semata-mata.
Malah, Hadi juga berkata, Islam turut tidak menggalakkan umatnya untuk memecat pemimpin sebaliknya perlu membetulkannya .