PAS akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang baru yang akan melibatkan sebuah parti pelbagai kaum dan NGO pada 16 Mac ini.
Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan berkata “Blok Politik Ketiga” diharapkan setanding dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Ini adalah gabungan pembangkang. Kami adalah kuasa ketiga.
"Tunggu sehingga 16 Mac, kami akan jemput nanti," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau enggan mendedahkan parti sekutu yang akan menandatangani memorandum persefahaman dengan PAS buat masa ini.
Takiyuddin ( gambar ), anggota parlimen Kota Bharu, juga menegaskan Umno atau parti disokong Umno tidak akan dilibatkan dalam blok baru itu.
Beliau berkata demikian selepas ditanya pendirian PAS dalam Deklarasi Rakyat bagi mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, antara Tun Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang.
PAS tidak menyertai gabungan pembangkang Pakatan Harapan dengan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) selepas Pakatan Rakyat berkubur.
PAS bagaimanapun menegaskan masih meneruskan kerjasama politik dengan PKR.