PAS tidak terlibat dengan usul undi tidak percaya terhadap menteri besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman yang dibawa pendahulunya Datuk Ahmad Said semalam.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mereka tidak akan terlibat dalam usaha menukar menteri besar jika ia hanya melibatkan isu perebutan jawatan semata-mata.
"PAS tidak akan terlibat,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, jika terdapat kewajaran lain, perkara itu akan menelitinya terlebih dahulu.
"Kita tak akan terlibat dan akan lihat isu (sama ada) munasabah (atau tidak),” kata Hadi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.
Hadi pernah menjadi menteri besar Terengganu selama sepenggal pada 1999 sebelum menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Idris Jusoh selepas BN merampas kembali negeri itu.
Ahmad Said ( gambar ) semalam mencetuskan kegemparan selepas membentangkan usul itu yang menurutnya tidak memerlukan notis awal kerana melibatkan perkara bawah perlembagaan negeri.
Speaker bagaimanapun menolak usul itu dan menegaskan kebenaran speaker diperlukan jika notis 14 hari itu dikecualikan.
Menurutnya, undi tidak percaya bukanlah memperkatakan pentadbiran jentera kerajaan negeri atau tanggungjawab menteri besar tetapi mempersoalkan kewujudan pembentukan kerajaan negeri itu sendiri
Justeru, katanya usul undi tidak termasuk dalam ruang lingkup fasal yang mahu digunakan Ahmad Said dalam peraturan dewan.
Razif memulakan tugas pada Mei 2014 sebagai menteri besar menggantikan Ahmad Said yang dipaksa meletakkan jawatan setelah kemelut pertukaran kepimpinan tertinggi negeri itu.