Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gerakan Selamatkan Malaysia hari ini bersetuju bahawa mereka cuba mencapai matlamat untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri namun masih tidak sependapat dalam isu membebaskan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita hanya menumpukan perhatian ke atas penyingkiran Najib," kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media Selamatkan Malaysia di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada beliau akan turut berjuang untuk membebaskan Anwar.

Dalam majlis berlangsung kira-kira dua jam itu, Dr Mahathir dilihat mengelak soalan yang berkaitan dengan penglibatannya bersama parti pembangkang bagi menandatangani deklarasi tersebut.

Bagaimanapun dalam sidang media sama, Peguam Kanan Datuk S Ambiga pula menggesa supaya isu pembebasan Anwar dimasukkan dalam deklarasi rakyat oleh gerakan itu.

"Kita perlu masukkan agenda untuk bebaskan Anwar dalam deklarasi ini kerana beliau dihukum secara tidak adil," katanya.

Sementara itu selepas sidang media, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata isu pokok deklarasi yang dibacakan Dr Mahathir itu lebih penting berbanding gerakan membebaskan Anwar.

"Saya menyokong penuh kenyataan yang dibuat Tun Mahathir mengenai tujuan deklarasi ini diadakan. Yang diterangkan Tun itu lebih utama dari kempen bebaskan Anwar," katanya.

Bagi Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula agenda membebaskan Anwar merupakan perkara utama bagi parti itu.

Katanya, Anwar merupakan simbol kezaliman serta sistem kerajaan yang rosak oleh Umno dan BN.

"Kita akan teruskan usaha membebaskan Anwar. Beliau simbol kezaliman negara.

"Perjuangan akan diteruskan. Tuntutan kita bukan setakat pemecatan (Najib), tetapi juga PRU yang adil, kebebasan media. Itu tuntutan yang telah termaktub dalam deklarasi ini, yang selari dengan agenda Pakatan," katanya.

Anwar dijatuhi hukuman penjara dan kini berada di Sungai Buloh selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS