Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: Ini untuk Malaysia, bukan Umno
Diterbitkan:  Mar 4, 2016 2:41 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

LANGSUNG

5.20pm: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali memberitahu bahawa ketidakhadiran Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail serta Nurul Izzah Anwar kerana perlu ke mahkamah.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau yang hadir atas kapasiti peribadi berharap agar PAS tidak terus menjauhkan diri daripada gerakan rakyat.

Ketika ditanya mengenai Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang yang tidak hadir pada hari ini, Mahfuz enggan mengulas.

"Itu biarlah mereka dah buat keputusan. Cuma saya harap PAS tak jauhkan diri dari gerakan rakyat," katanya.

Selain itu, Azmin ketika ditanya mengenai poster yang dibawa oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai “Akar Umbi PKR” berkata, beliau tidak mahu layan desakan kumpulan berkenaan.

Kumpulan tersebut membawa poster yang bertulis “Harapan Kami, Ketua Umum PKR” berserta gambar Mahathir.

"Tak apalah mereka itu. Biarlah," kata Azmin.

5.00pm: Hishamuddin Rais ketika ditemui selepas sidang media berkata, kehadirannya pada hari ini adalah untuk masa depan negara dan menjatuhkan Najib.

Katanya walaupun pernah dimasukkan ke ISA pada 2001 semasa pemerintahan Mahathir namun perkara itu beliau ketepikan.

"Apa lebih penting sekarang ialah ketepi perbezaan itu lebih penting dan memandang ke depan ke arah sesuatu yang lebih besar iaitu Najib Razak.

"Saya ketepikan sementara. Bukan tak faham peranan Mahathir sebelum ini tapi untuk capai ini kita perlu bersatu. Ketepikan perbezaan," katanya

4.53pm Sidang media diakhiri laungan “reformasi” oleh orang ramai yang hadir.

4.45pm: Muhyiddin dalam sidang media berkata, walaupun masih ahli Umno, beliau hadir atas kapasiti individu.

"Saya di sini sebagai nama saya walaupun masih ahli Umno saya rakyat Malaysia. Saya ada hak bersuara dan sokong penuh apa yang disebut Tun tadi," katanya.

4.43pm: Maria Chin berkata, beliau hadir bukan sebagai pengerusi BERSIH tetapi individu.

Beliau juga menegaskan bahawa apa yang penting adalah untuk masa depan Malaysia dan bukan untuk mengenang tentang kesilapan sesiapa sebelum ini

"Kita telah lakukan kesilapan dan kita berada di sini untuk memperbaiki kesilapan dan bukan untuk menceritakan tentang perkara 10 tahun lepas.

“Kita di sini untuk masa depan yang lebih bagus," kata Maria.

4.40pm: Dalam sidang media hari ini, Mahathir menegaskan kehadirannya hari ini bukan untuk berjuang bagi menyelamatkan Umno sebaliknya demi Malaysia.

"Tak ada kaitan dengan Umno dan parti. Ini adalah mengenai Malaysia dan saya bimbang tentang masa depan Malaysia," katanya.

4.05pm: Tandatangan deklarasi kini dilakukan oleh pimpinan yang hadir.

Ia dimulakan dengan Mahathir, Siti Hasmah, Azmin, Leong Sik dan Muhyiddin.

Selepas itu ia diikuti dengan Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Mukhriz, Ambiga dan Mustafa.

3.35pm: Mahathir berkata, kehadiran mereka pada hari ini bukan mewakili mana-mana parti sebaliknya sebagai rakyat Malaysia yang mengambil berat dan bimbang dengan keadaan negara.

Atas sebab itu, mereka semua tanpa mengenal parti politik, agama dan bangsa bersatu pada hari ini bagi memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan.

"Hari ini penting kita sebagai rakyat Malaysia nak melahirkan kebimbangan dan kesedaran tentang apa yang berlaku di negara ini.

"Kami tak wakili parti, NGO dan kami adalah rakyat Malaysia," katanya.

Malah bekas perdana menteri itu berkata lagi, kesedaran untuk mereka bersama pada hari ini adalah disebabkan kebimbangan yang dilahirkan oleh rakyat Malaysia terhadap kepimpinan Najib.

"Rakyat Malaysia bimbang dan melahirkan pendapat mereka. Mereka datang kepada kami dan minta tolong lakukan sesuatu.

"Kami semua bersetuju bahawa negara ini dipimpin oleh seseorang yang lakukan kerosakan terhadap negara dan jika dia tak disingkirkan, kerosakan ini akan lebih teruk.

"Kami bersatu dengan satu isu iaitu Najib perlu disingkirkan sebagai perdana menteri Malaysia. Itu apa yang menyebabkan kami bersama," katanya dalam sidang media hari ini.

3.37pm: Mahathir berkata rakyat Malaysia bimbang berkaitan apa yang berlaku di negara ini tetapi bercakap dengan suara yang berbeza.

Mahathir berkata negara ini ditadbir oleh pemimpin yang melakukan banyak kerosakan kepada negara.

3.35pm: Mahathir bangun membaca ringkasan deklarasi anti-Najib.

3.18pm: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah masuk ke bilik sidang media di Rumah Kelab PAUM. Turut hadir ialah tokoh wartawan Datuk Kadir Jasin.

Ketika Mahathir tiba para penyokongnya melaungkan "Hidup Tun".

Sementara itu, seorang lagi anggota PAS Ketua Penerangan Dewan Ulama Datuk Khairuddin Aman Razali turut menghadirkan diri pada majlis deklarasi anti-Najib pada hari ini walaupun parti Islam itu semalam mengeluarkan kenyataan untuk tidak menyokong deklarasi tersebut.

Suasana dalam bilik sidang media kini sesak - dipenuhi oleh pemimpin pelbagai parti pembangkang dan NGO serta puluhan wakil media yang kini sedang menanti kehadiran Mahathir ke dalam bilik tersebut.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang, Anthony Loke dan Teresa Kok telah tiba bagi menghadiri majlis tanda tangan itu.

3.15pm: Mahathir dan isterinya Tun Siti Hasmah sampai ke lokasi disambut tepukan orang ramai.

3.02pm: Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustapha Ali ketika ditemui Malaysiakini berkata, kehadirannya pada hari ini atas kapasiti individu dan bukan mewakili parti.

Katanya, beliau mendapat jemputan atas namanya untuk menghadiri majlis hari ini dan bukan parti.

"Saya datang sini secara peribadi. Jemputan atas nama saya," katanya tersenyum.

Ditanya sama ada beliau tidak bimbang sekiranya diambil tindakan oleh PAS, Mustapha berkata:

"Perkara itu tidak berbangkit. Tak adalah (dipanggil). Saya datang sebab saya dijemput atas nama saya," katanya lagi.

PAS semalam memutuskan tidak menyertai acara itu.

3pm: Pemimpin lain kelihatan setakat ini:

  • Tan Sri Muhyiddin Yassin
  • Datuk Zaid Ibrahim
  • Datuk S Ambiga
  • NGO antirasuah C4 Cynthia Gabriel
  • Naib Presiden PKR Tian Chua
  • Presiden AMANAH Mohamad Sabu
  • Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali

2.57pm Salahuddin meminta orang ramai melupakan perbezaan sesama sendiri untuk satu misi bersama.

"Ini satu sejarah negara," katanya.

2.45pm: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub dan bekas pemimpin akar umbi Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sudah kelihatan sudah hadir.

Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, wakil rakyat PAS Datuk Mahfuz Omar dan wakil PKR Kamaruddin Jaafar juga sudah hadir.

4.41pm: Menjelang sidang media 3.30 petang ini yang dinanti-nantikan banyak pihak, petugas media mula hadir ke acara di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur itu sedikit demi sedikit.

Kelihatan tempat sidang media yang dikatakan akan membariskan bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin pembangkang itu telah disediakan.

Kira-kira 50 kerusi telah disusun untuk acara itu dengan 15 kerusi di bahagian depan dan lainnya di belakang.

Latar belakang bendera Malaysia dengan perkataan “Selamatkan Malaysia” dihias di pentas. Kelihatan juga individu memakai baju bertulis “I Support Dr M” (Saya sokong Dr M).

Sidang media hari ini bertujuan menyatakan deklarasi menolak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia juga menjadi detik bersejarah apabila buat pertama kali dalam sejarah Mahathir, bekas presiden Umno, akan mengadakan sidang media bersama pemimpin pembangkang.

Siapa status 50 pemimpin itu masih menjadi tanda tanya. Selain pembangkang, berapa banyak pemimpin Umno dan BN akan terlibat sama?


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS