Timbalan presiden Umno yang digantung tugas Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan terus kekal dalam parti itu.
Berbeza dengan Tun Mahathir Mohamad yang keluar parti, Muhyddin masih berpendapat “parti ini baik dan boleh terus perjuangan”.
“Umno tidak bersalah dalam soal ini. Saya minta pandangan ramai pimpinan dan rakyat biasa, keluarga, isteri saya, mereka berpendapat sewajar saya kekal dalam Umno.
“Dan (parti) ini jadi sebahagian daripada darah daging saya.
“Atas dasar prinsip nak bela rakyat dan tegak kebenaran maka ramai sokong saya,” katanya.
Turut hadir isteri Muhyiddin, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tak takut dipecat
Bagaimanapun, Muhyiddin juga berkata, walaupun kekal dalam Umno, beliau tetap tidak akan berdiam diri.
Malah, beliau juga yang dilihat bersemangat berkata tidak gentar sekiranya dipecat.
"Saya akan kekal dalam Umno tak bermakna tak berbuat apa-apa. Saya tak takut kalau setiausaha agung akan pecat. Saya tidak takut tentang itu.
"Bagi saya perjuangan kita masih belum selesai. Saya akan terus bersuara lebih lantang walaupun kekal dalam Umno," katanya lagi.
Anggota parlimen Pagoh itu menjelaskan, pendirian itu diambil memandangkan rakyat perlu tahu perkara sebenar berkaitan masalah yang melanda Umno kini.
Jelasnya, apa yang berlaku bukan disebabkan kesalahan yang dilakukan parti sebaliknya berpunca daripada presiden Umno sendiri Datuk Seri Najib Razak.
"Ini hanya perbuatan seorang manusia yang bernama presiden Umno.
"Kenapa saya dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi Umno dan dihukum tetapi presiden yang lakukan banyak kesalahan tak dihadapkan ke muka pengadilan, tak dibawa ke Lembaga Disiplin?
"Siapa yang lakukan kesalahan?
"Kita akan terus bersuara tentang perkara yang betul dan bercakap yang benar," katanya lagi.