Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali hari ini mengalu-alukan kenyataan tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak supaya berlaku reformasi dalam institusi negara.
Azmin berkata, pendirian tersebut adalah selaras dengan perjuangan 'reformasi' yang dianjurkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Masa telah tiba di mana semua parti politik, organisasi masyarakat madani, pemimpin dan individu perlu bersatu sebagai rakyat yang prihatin untuk tujuan yang lebih besar demi menyelamatkan negara.
"Ikhtiar bersama ini perlu dijadikan kenyataan demi mengembalikan negara di atas jalan demokrasi yang tulen.
"Kita masih belum terlambat untuk melakukan perubahan. Seperti mana Tan Sri Muhyiddin, hasrat dan cita-cita rakyat juga untuk merealisasikan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan jujur," katanya.
Azmin menambah bahawa ianya adalah titik perubahan untuk negara Malaysia.
Katanya, skandal kewangan, kegagalan institusi negara, sekatan ke atas hak dan kebebasan rakyat harus menjadi pendorong untuk menyatukan kita semua demi melaksanakan reformasi.
"Kita mesti bangkit di atas perbezaan dengan kesatuan hasrat mengambil-alih tampuk kepimpinan negara yang lemah.
"Rakyat tidak boleh lagi bertolak ansur dengan pelanggaran hak asasi. Mereka tidak wajar menderita dengan ketidakadilan yang berlaku di tangan pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.
"Ayuh, jangan menoleh lagi. Kita harus bersatu demi perubahan," tegasnya.