Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, pemimpin veteran Umno, Tan Sri Rafidah Aziz kini bukan sesiapa dan beliau bebas untuk bercakap memandangkan negara ini adalah sebuah negara demokrasi.
“Rafidah bukannya sesiapa pun. Kita amalkan kebebasan bersuara.
“Dia nak menyalak pun lantaklah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Meja bulat Imam Kebangsaan di Putrajaya
Nazri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas menteri Umno itu yang mengingatkan rakan-rakannya tentang kisah 'maharaja tanpa baju' selepas mereka mengkritiknya kerana menegur kelemahan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Rafidah turut menyelar pihak yang menuduhnya sebagai anti-kerajaan atau penentang parti, di mana beliau telah berkhidmat selama setengah abad sedangkan ramai pemimpin muda hari ini dalam Umno masih berada di "tadika" pada masa itu.
Mengulas lanjut, Nazri yang juga ahli parlimen Padang Rengas berkata sebelum ini Rafidah pernah tewas kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada emilihan Wanita Umno sehingga menyebabkan suaranya tidak lagi didengar oleh akar umbi.
“Lantak dialah nak cakap apa-apa sebab akhir sekali pun kalah dengan Shahrizat. (Jadi) orang tak dengar cakap dia sekarang,” katanya.