Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mengingatkan rakan-rakanya tentang kisah 'maharaja tanpa baju' selepas mereka mengkritiknya kerana menegur kelemahan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Sejak bila pandangan yang berbeza dan menyoal soalan dianggap sebagai anti-kerajaan?
"Hanya kawan benar sanggup menghulur leher bagi memberitahu perkara seperti keadaan sebenarnya. Seseorang boleh mempunyai ramai kawan yang hanya berkata apa yang seseorang itu mahu dan lebih suka dengar tetapi kemudian menanggung akibatnya.
"Ingat kisah ‘maharaja tanpa baju'?" soal Rafidah dalam satu kenyataan di Facebook pagi ini.
Mengikut cerita dongeng yang terkenal itu, maharaja dijanjikan baju baru yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar oleh golongan yang bodoh dan tidak layak.
Akibatnya, orang ramai berpura-pura mendakwa mereka mampu melihat baju itu sehingga seorang kanak-kanak yang kemudiannya menjerit bahwa maharaja itu sebenarnya sedang berbogel.
Kritikan membina, kata bekas Ketua Wanita Umno itu yang berdasarkan keikhlasan dan didorong oleh cinta kepada negara, harus diterima.
"Saya tidak pernah membenarkan diri saya menjadi pak turut kepada sesiapa. Ia tercatat dalam rekod saya," katanya.
Rafidah menyelar pihak yang menuduhnya sebagai anti-kerajaan atau penentang parti, di mana beliau telah berkhidmat selama setengah abad sedangkan ramai pemimpin muda hari ini dalam Umno masih berada di "tadika" pada masa itu.
"Tidak, saya tidak berminat untuk kembali aktif dalam politik atau kerajaan atau untuk menceroboh urusan tadbir urus awam jika tiada keperluan berbuat demikian.
"Tetapi ini tidak bermakna saya, sebagai rakyat jelata, saya tidak boleh dan tidak seharusnya menyuarakan pendapat saya, terutamanya apabila terdapat isu-isu membabitkan kepentingan awam," katanya.