Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asri hulur salam damai pada Zamihan
Diterbitkan:  Feb 19, 2016 1:00 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menghulurkan salam perdamaian kepada Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin.

Mohd Asri berkata selepas majlis Diskusi Santai: Ekstremisme Agama di Malaysia perdebatan dalam perkara-perkara tidak besar dalam agama "perlu dihentikan".

Jelas Mohd Asri, Zamihan boleh meneruskan perbezaan pendapatnya namun ia haruslah dengan kesopanan dan kesantunan.

“Majlis ini telah selesai, orang telah dengar apa yang nak dijelaskan, saya hulurkan kepadanya (Zamihan) salam harmoni dan perdamaian.

“Beliau boleh teruskan perbezaan tetapi dengan kesopanan dan kesantunan. Berbeza pandangan itu tidak menjadi masalah kerana ramai yang berbeza pandangan tetapi tidak perlu untuk kita mengafirkan (orang lain) dan tidak perlu kita memaki orang. Cukup setakat kita beritahu perbezaan kita,” beliau dilaporkan Sinar Harian sebagai berkata.

Perbezaan pandangan dan pedekatan antara Mohd Asri dan pegawai agama Kementerian Dalam Negeri itu berlangsung sejak lama.

Ia menjadi seakan tidak terkawal apabila Zamihan dilihat menggunakan bahasa kasar - termasuk bahlul, anjing, bodoh dan kafir - sehingga mendorong Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim cuba mempertemukan mereka.

Cuma jaga pengikut

Di sebalik kesanggupan Zamihan bertemu Mohd Asri beberapa program yang diatur gagal menjadi tempat mereka berdialog.

Mohd Asri menambah, jika debat perlu diadakan ia wajar bertujuan memberi manfaat kepada orang Islam.

“Saya tahu satu negeri sahaja yang kalau kita buat majlis itu dan berjalan dengan lancar iaitu Perlis. Tapi saya ingin beritahu lebih baik kita buat kerja-kerja agama.

“Banyak masalah orang Islam sekarang ini dan kita berbahas tentang sifat tuhan dan sebagainya yang bukan boleh difahami oleh kebanyakan orang,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Mohd Asri berkata, isu perdebatan sering berlaku apabila melibatkan mazhab tetapi tiada kaitan dengan soal keselamatan.

“Ia tidak ada kaitan soal keselamatan tetapi ada pihak tertentu guna kedudukannya untuk mengaitkan orang berbeza pandangan itu dengan keselamatan dan mahu diambil tindakan,” katanya.

Mengulas lanjut, polemik dan krisis melanda golongan ilmuwan agama mempunyai kaitan dengan usaha menjaga pengikut masing-masing.

“Saya cakap secara umum, kadang-kadang krisis dan polemik yang melanda golongan agama bukan kerana soal fakta tetapi kerana cuba menjaga pengikut masing-masing.

“Dengan ada pengikut orang itu boleh kekalkan posisi yang ada dan dengan posisi yang ada, dia dapat manfaat. Ini bukan sahaja berlaku dalam Islam tetapi turut berlaku dalam agama lain,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS