Syarikat penerbangan berkonsepkan patuh syariah- Rayani Air meminta maaf kepada penumpangnya ekoran pembatalan penerbangan dari Langkawi, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rayani Air, Ravi Alagendrran berkata pembatalan itu bukan disebabkan masalah teknikal, sebaliknya pihaknya mendapati cermin kokpit pada pesawat itu telah retak selepas penerbangan semalam.
"Kami sedang menyiasat sama ada ia adalah satu tindakan sabotaj atau tidak.
"Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengangani perkara ini," katanya dalam kenyataan media.
Sementara itu Ravi berkata pihaknya sedang berusaha sedaya upaya bagi membolehkan semua penumpang yang terkandas meninggalkan langkawi dengan selamat.
"Kami memohon maaf dan berharap penumpang kami memahami keadaan," katanya sambil menambah mereka yang memerlukan bayaran balik tiket penerbangan diminta menghubungi nombor talian syarikat itu.
Terdahulu lebih 200 penumpang pesawat Rayani Air dilapor terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selepas penerbangan mereka dibatalkan.
Penerbangan RN180 yang menggunakan pesawat Boeing 737 itu tidak dibenarkan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 11.10 pagi.