Tun Mahathir Mohamad menolak kenyataan bahawa wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak bertujuan memerangi aktiviti keganasan atau memenangi pilihan raya.
"Dakwaan bahawa AS$700 juta adalah untuk memerangi IS tidak boleh dipercayai kerana Najib sebelum ini secara terbuka memberitahu bahawa ia untuk Umno serta bagi memenangi pilihan raya pada 2013.
"Memenangi pilihan raya di Malaysia tidak memerlukan berbilion ringgit," kata Mahathir dalam blognya hari ini.
Sebelum ini, pelbagai dakwaan berhubung wang dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Seorang pemimpin Umno sebelum ini pernah mendakwa wang tersebut diberi pihak tertentu dari Timur Tengah kepada Najib untuk membiayai perjuangan melawan DAP "yang dibiayai Yahudi ".
DAP menafikan perkara itu.
Sebelum ini juga terdapat beberapa pemimpin Umno yang memberi kenyataan bercanggah apabila mendakwa wang tersebut bertujuan untuk melawan pengganas IS serta bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Peguam negara pada minggu lalu membersihkan nama Najib apabila mengatakan perdana menteri itu tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung wang dana tersebut.
Apandi turut memberitahu bahawa Najib memulangkan kembali baki wang tersebut kepada penderma.
Sumber yang dekat dengan keluarga diraja Arab Saudi turut mengesahkan bahawa wang dana tersebut diberi kepada Najib bagi tujuan menghadapi pilihan raya 2013.
Sehubungan itu, Mahathir hari ini turut mempersoalkan tentang wang tersebut yang disalur terus ke akaun peribadi Najib.
Menurut bekas pemimpin itu, kerajaan Arab Saudi sebelum ini pernah memberi derma kepada negara lain tetapi melalui saluran rasmi.
Mahathir sekali lagi mempertikaikan Apandi kerana didakwa gagal memberi penjelasan tentang dana tersebut.
"Jelas sekali bahawa peguam negara tidak mahu peguam negara Switzerland tahu sama ada duit wang dalam akaun peribadi perdana menteri datang dari 1MDB atau tidak," kata Mahathir lagi.