Kerajaan Johor melarang 16 penceramah bebas yang didakwa tidak sealiran dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah untuk berceramah atau mengajar agama Islam di negeri ini, berkuat kuasa 31 Disember lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, selain 16 penceramah bebas itu, akan menyusul beberapa nama lain yang bakal dikenakan tindakan sama.
"Larangan tersebut dibuat berlandaskan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dan enakmen sedia ada bagi menjaga kesucian agama Islam.
"Kita bukan mengambil tindakan tersebut sesuka hati tetapi ia dilakukan bersebab, malah penceramah dari Johor sekali pun kalau ada yang berbuat seperti itu, kita juga tetap ambil tindakan," katanya ketika dihubungi semalam.
Abd Mutalip mengulas mengenai satu dokumen yang tersebar di laman sosial yang mengandungi senarai 16 penceramah bebas yang dilarang berceramah atau mengajar agama Islam di Johor.
Menurut dokumen itu, terdapat sebilangan penceramah yang datang dari luar Johor untuk berceramah atau mengajar agama Islam di masjid, surau atau di tempat awam lain, yang boleh menimbulkan kekeliruan dan membibitkan perpecahan masyarakat khususnya umat Islam.
Antara penceramah yang tersenarai dalam dokumen itu adalah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahaya.
- Bernama