Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengadakan program gaya hidup sihat “Trim and Fit 2016” bagi membantu warganya yang mengalami masalah obesiti menurunkan berat badan.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Zulkifli Abdullah berkata buat pertama kali untuk tempoh enam bulan mulai hari ini melibatkan 35 pegawai dan anggota polis daripada jabatan itu.

Menurut Zulkifli, seramai 11,274 daripada 109,304 anggota polis di seluruh negara mengalami masalah obesiti.

"Pucuk pimpinan (polis) memandang berat perkara ini dan berharap jumlah tersebut dapat dikurangkan segera.

"Tambahan lagi, laporan statistik menunjukkan angka kematian di kalangan anggota polis mencecah 250 orang akibat pelbagai penyakit," kata Zulkifli kepada pemberita di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak, Kuala Lumpur hari ini.

Program itu dimulakan dengan ceramah dan rundingan oleh pakar kesihatan mengenai pemakanan dan tentang cara melakukan aktiviti fizikal di rumah.

Peserta program didedahkan dengan risiko tabiat makan dan kesan kepada berat badan.

Konsep sajian, terapi diet

Selain diberi tunjuk ajar mengenai aktiviti fizikal mereka juga didedahkan dengan konsep sajian dan kalori serta terapi diet.

Selepas lebih dua jam taklimat, peserta di bawa untuk aktiviti fizikal seperti senam aerobik dan berzumba.

Program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Zulkifli berkata sekiranya program itu berjaya selepas berakhir tempoh enam bulan nanti, ia akan diperluaskan ke seluruh negara.

Beliau juga berkata terdapat perancangan mengetatkan syarat kesihatan untuk kenaikan pangkat anggota pasukan keselamatan itu.

"Tetapi, selepas enam bulan pelaksanaan program ini, ia akan jadi syarat utama sebelum kita jalankan temuduga.

“Kita akan lihat mereka lulus atau tidak (Trim dan Fit) baru boleh masuk temu duga," tegas Zulkifli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS