Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mukhriz 'hampir pasti' diganti, lapor Utusan
Diterbitkan:  Jan 23, 2016 2:33 PM
Dikemaskini: 7:46 PM

'Hampir pasti' Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan digantikan, demikian tajuk utama muka depan akhbar harian milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.

Akhbar itu melaporkan, dalam pertemuan dengan barisan kepemimpinan Umno dan exco kerajaan negeri itu di PWTC, Najib yang juga presiden Umno dilaporkan berkata, beliau akan meneliti semua perkara sebelum membuat sebarang keputusan.

"Perdana menteri akui apa yang berlaku adalah suara yang dibawa oleh ketua-ketua bahagian di Kedah, beliau minta diberi masa untuk membuat keputusan kerana apa juga tindakan perlu mengambil kira kesan kepada Umno Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Selain itu beliau juga menuntut kesetiaan semua pemimpin Umno negeri tersebut terutamanya apabila keputusan dibuat dalam tempoh sehari dua lagi," lapor Utusan yang memetik satu sumber yang turut menghadiri pertemuan tersebut.

Pertemuan itu dihadiri oleh lebih 50 pemimpin Umno Kedah, antaranya Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom, ADUN Tanjong Dawai, Datuk Tajol Urus Mat Zain, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Laporan yang memetik sumber dalaman Umno itu berkata, pemimpin Umno yang hadir sepakat meminta Najib menyelesaikan isu tersebut dengan segera termasuk menghadap ahli jemaah pemangku Sultan Kedah secepat mungkin.

"Dalam mesyuarat itu, Ahmad Bashah yang mewakili kepemimpinan Umno Kedah menjelaskan apa yang berlaku dan mahu Perdana Menteri membuat perubahan terhadap kepemimpinan Umno Kedah demi memastikan parti itu terus berkuasa," lapor Utusan lagi.

Rabu lalu, sekumpulan Umno Kedah yang juga penyokong Najib mengumumkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz.

Mereka yang diketuai oleh Ahmad Bashah ketika mengadakan sidang media di Alor Setar, Kedah itu juga menggesa Najib campur tangan dan menggantikan Mukhriz sebagai menteri besar.

Selain itu ditanya mengenai calon menteri besar bagi menggantikan Mukhriz, Utusan memetik sumber itu sebagai berkata, setakat ini Ahmad Bashah merupakan calon utama dan pengumuman mengenai­nya akan dilakukan dalam tempoh sehari dua lagi.

“Ada pihak memaklumkan majlis angkat sumpah dijangka diadakan pada penghujung bulan ini di Istana Anak Bukit," sumber itu dilaporkan berkata.

Sementara itu media milik Umno itu turut melaporkan sokongan terhadap Mukhriz dilihat semakin berkurangan apabila beberapa perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan beliau semakin pudar.

Dalam masa sama, satu sumber memberitahu Utusan, Mukhriz juga menghadapi masalah dalam mendapatkan sokongan di kalangan ADUN jika beliau berhasrat membawa perkara itu ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS