Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

LAPORAN LANGSUNG | 'Rakan dan lawan' akan melupakan perbezaan mereka hari ini untuk berjuang untuk tujuan yang sama dalam protes utama pertama di negara ini dalam 2016.

Ribuan dijangka menyertai perhimpunan membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di pusat bandar Kuala Lumpur hari ini - tiga hari sebelum Parlimen bersidang untuk membahaskan perjanjian itu.

Malaysiakini akan menyiarkan laporan langsung untuk pembaca.

5pm Perhimpunan membantah TPPA hari ini berakhir dengan aman sekitar kam 5.00 petang.

4:55pm - Padang Merbok -

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya akan memantau dan menurunkan semua anggota Parlimen di negara ini yang menyokong TPPA.

"Kita akan pantau semua anggota Parlimen, mana-mana anggota Parlimen yang menyatakan sokong kepada TPPA kita akan turunkan daripada tampuk pemerintahan kerajaan," tegas Tuan Ibrahim ketika berucap di hadapan kira-kira 3,000 peserta himpunan bantah TPPA di Padang Merbok sebentar tadi.

Malah, Tuan Ibrahim juga mahu Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia mengeluarkan fatwa bagi membantah TPPA.

"Kita berharap Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa membantah TPPA kerana masa depan rakyat dan negara inj sudah menjadi tanggungjawab kepada majlis tersebut," kata Tuan Ibrahim.

Katanya, ini kerana TPPA bukan sahaja melibatkan soal perdagangan negara sebaliknya soal akidah.

"Kita harapkan semua pihak dapat buka mata bahawa TPPA ini bukan semata-mata soal perdagangan tetapi soal akidah," tegas Tuan Ibrahim.

Justeru, Tuan Ibrahim mahu semua pihak melihat dan mengutamakan masa depan negara dan rakyat.

"Kita mohon kepada semua parti politik agar melihat masa depan negara dan rakyat sebagai keutamaan," katanya.

Tambah Tuan Ibrahim lagi, pihaknya juga akan mengadakan himpunan di setiap negeri bagi menjelaskan keburukan pelaksanaan TPPA sekali gus menurunkan kerajaan pemerintah yang pekak dan bisu mengenai perjanjian itu.

"Kita akan adakan himpunan di setiap negeri sehingga kita berjaya turunkan kerajaan yang pekak dan bisu ini," tambah Tuan Ibrahim mengakhiri ucapan di demontrasi bantah TPPA di Padang Merbok sebentar tadi.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad kemudian mengetuai bacaan doa supaya TPPA ditolak oleh Parlimen.

"Ya Allah, membuka hati para pemimpin negara supaya mereka boleh menolak TPPA."

Beliau juga berdoa untuk masa depan yang lebih cerah untuk generasi masa depan Malaysia.

Orang ramai diminta membersihkan sampah, dan bersurai secara aman.

Tuan Ibrahim memberitahu wartawan bahawa peserta protes hari ini adalah seramai 25,000 orang.

Malaysiakini menganggarkan jumlah kehadiran adalah lebih 4,500 orang, manakala Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainol Samah menganggar seramai 5,000 hingga 7,000 orang.

4:20pm - Padang Merbok - Langit bertukar menjadi mendung. Ucapan masih boleh mendengar tetapi ada yang mula beredar.

Shah dari Sungai Petani, Kedah, berkata dia mahu cepat bergerak ke Masjid Negara.

"Mereka hanya akan selesai pada pukul 5 petang," katanya.

Tidak ada tanda bahawa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan hadir, seperti yang didakwa oleh PERKASA.

4.05pm - Padang Merbok: Ketua Dean Pemuda PAS Nik Aduh Nik Aziz berkata TPPA akan menjadikan negara kita di ambang kemusnahan dan merosak masa depan rakyat.

“Terima Kasih rakan-rakan dan anak-anak muda yg datang... Adakah kebahagiaan kita mahu diikat dengan TPPA?

"Adakah tuan-tuan yakin Amerika Syarikat akan beri perlindungan kepada? kita diikat oleh Amerika Syarikat!” kata nik aduh.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh berharap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menjadi kerajaan yang "pekak badak".

3:55pm - Dataran Merdeka - Seperti yang dijanjikan, peserta protes mula bersurai sebelum sampai tempoh akhir jam 4 petang yang diberikan oleh polis.

Setiausaha Agung PSM A Sivarajan memberitahu Malaysiakini mereka tidak akan ke Padang Merbok dan akan bersurai.

"Kami memberi orang ramai pilihan. Bagi yang mahu pergi ke Padang Merbok, mereka boleh pergi," katanya.

Kebanyakannya beredar, termasuk ahli AMANAH dan PSM, menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

3.40pm: Padang Merbok: Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin sampai nanti di Padang Merbok.

Peserta himpunan membalas dengan laungan kuat apabila mendengar nama Mahathir.

Ibrahim berkata PERKASA menolak TPPA dari peringkat awal lagi.

“Apabila saya lihat PM main golf di Hawaii dengan presiden AS (Barack Obama), lama lagi saya curiga. Bila dia (Obama) datang ke Malaysia saya lagi curiga.

"Ini adalah satu strategi dan tekanan politik US terhadap negara kita Malaysia," katanya.

Ibrahim berkata PERKASA menolak TPPA bukan atas emosi semata-mata tetapi atas keilmuan, kajian dan meja Bulat TPPA yang diadakan.

“Kita tolak TPPA tanpa kepentingan politik, hanya kepentingan negara, tiada agenda.

“Kita dapati juga bekas PM Mahathir dengan tegas menolak TPPA atas dasar untuk menjamin kedaulatan negara agar tidak dijajah,” katanya.

Ibrahim seterusnya menyeru kerajaan supaya menubuh Suruhanjaya Diraja Bebas untuk mengkaji semula TPPA.

“Ini adalah demi ketelusan, ini cadangan PERKASA,” kata ibrahim.

3:30pm: Semua kumpulan dari lima lokasi perhimpunan sudah tiba sama ada di Padang Merbok atau Dataran Merdeka dengan jumlah keseluruhannya sekitar 3,500 orang.

Orang ramai di Padang Merbok dianggarkan 3,000 dan sedang mendengar ucapan.

Bagaimanapun, satu kumpulan kecil seramai 500 bertegas untuk berada di Dataran Merdeka, yang telah ditutup oleh pihak polis.

3.15pm: Padang Merbok: Rakyat berhimpun di padang ini untuk menunjukkan pendirian kita tolak satu penjajahan bentuk baru, kata Naib Pengerusi PKR Tian Chua yang mewakili pakatan harapan.

"Kita dimaklum bahawa kos perubatan akan naik, rakyat akan hilang pekerjaan, ekonomi merosot.

"Orang yang sokong TPPA kata akan naik eksport, pertumbuhan ekonomi dan perlaburan.

"Tapi Isu yang penting di depan kita adalah isu kedaulatan negara. Dengan tandatangani TPPA akan mengadaikan hak rakyat, bangsa dan negara, itu isu pokok!"kata Tian Chua.

Katanya kalau gadaikan nasib negara, kita tidak akan dapat pulihkan kedaulatan negara, inilah sebab kita bangkit pertahan kedaulatan negara.

Tian Chua kemudian melaungkan Keadilan, PAS, PSM, DAP dan AMANAH akan tolak TPPA.

Namun, ketika Tian Chua menyebut parti AMANAH, terdapat sesetengah peserta yang duduk di tepi padang melaungkan "tolak AMANAH".

Ketika Tian Chua melaung "tolak tolak tolak penjajahan, sesetengah peserta di tepi padang itu melaung " tolak tolak tolak Amanah".

Ketika Tian Chua habis berucap, jurucakap mengumum ketibaan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, disambut dengan laungan gemuruh hadirin.

3pm - Padang Merbok : Jumlah hadirin semakin bertambah.

Majoriti peserta berpakaian hijau PAS, dan berselerak di padang serta berteduh di bawah pokok.

Mohamad dari PAS cawangan Kok Lanas PAS di Kelantan berkata, dia tidak gembira dengan destinasi terakhir perhimpunan tersebut.

"Kita sepatutnya berada di Dataran Merdeka," katanya kepada Malaysiakini.

Namun dia tetap yakin bahawa bantahan itu boleh meyakinkan Parlimen untuk menolak TPPA.

2:50 pm - Jalan Parlimen : Tidak seperti yang lain, kumpulan yang datang dari Maju Junction berhenti di hadapan Dataran Merdeka dan enggan menuju ke Padang Merbok.

Arutchelvan dari PSM mengumumkan ini dan membawa orang ramai, yang telah meningkat kepada lebih 500, ke Jalan Parlimen dan kekal berada di situ.

Sekumpulan kecil duduk di atas jalan raya dan kini menghalang lalu lintas menuju ke Dataran Merdeka.

Polis kini mengarahkan lalu lintas ke Jalan Raja Laut, sambil cuba untuk berunding dengan peserta berkaitan gangguan kepada lalu lintas.

"Saya rasa saya lebih suka duduk di sini," kata seorang peserta Rustam Sani, kepada Malaysiakini.

Khalid Ismath dari PSM memberitahu orang ramai bahawa selepas rundingan, polis akan membenarkan mereka berada di situ sehingga jam 4 petang.

Bilangan peserta protes meningkat kepada 2,500

2:40pm - Jumlah peserta setakat ini dianggarkan sekitar 2,500.

Padang Merbok - 500

Masjid Negara - 1500

Sogo - 300

Masjid India - 200

Kebanyakan peserta dari Masjid Jamek dan Sogo telah pun tiba di Padang Merbok.

Mereka dari Maju Junction kini berada di Sogo manakala kumpulan dari Masjid Negara mula menuju ke Padang Merbok.

Peserta diminta pergi Padang Merbok

2:30pm - J alan Parlimen: Unit Amal mengendalikan pergerakan peserta protes ke Jalan Tangsi dan ke Jalan Parlimen, bagi memastikan mereka menjauhi Dataran Merdeka.

Sebahagian daripada peserta protes itu kelihatan keliru apabila mereka terdengar bahawa mereka akan ke Padang Merbok.

"Mungkin kami akan pergi ke Dataran Merdeka selepas ini," seorang lelaki yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Ismail.

Yang lainnya seperti Saad dari Perlis berkata beliau tidak kisah pergi ke Padang Merbok.

Sambil bergerak, para peserta melaungkan "Hancur TPPA".

2:15pm - Padang Merbok : Kira-kira 100 peserta dari Masjid Jamek telah berjalan menuju ke Padang Merbok. Mereka berjalan secara santai dan tiada bunyi vuvuzela atau laungan didengar. Mereka tiba di Padang Merbok pada 2.15 petang.

Kelihatan satu pentas atas lori dan jurucakap berkata peserta dari semua tempat himpunan akan berarak ke Padang Merbok nanti.

Katanya, peserta akan berhimpun di Padang Merbok untuk mengutarakan ketidakpuasan hati terhadap TPPA.

Kira-kira 200 orang peserta telah berkumpul di Padang Merbok sekarang.

2:20pm - Sogo: Kumpulan dari Maju Junction bertemu dengan kumpulan di Sogo dan mereka berhenti untuk mendengar beberapa ucapan pemimpin yang hadir.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menggesa orang ramai menolak rasuah, kapitalis dan TPPA.

Beliau berkata ekonomi Malaysia sudahpun dimonopoli oleh kapitalis tempatan.

Dengan TPPA, katanya, ia hanya akan memberi laluan kepada kapitalis Amerika untuk menepukan ekonomi Malaysia.

Malah, katanya, perniagaan kecil di Amerika pun membantah TPPA kerana mereka juga tahu bahawa mereka akan menderita jika ia dilaksanakan.

2:00pm - Masjid Jamek : Selesai solat berjemaah peserta diarah bergerak terus ke Padang Merbok.

Turut kelihatan Idris Ahmad dari PAS.

Dalam perjalanan menuju Padang Merbok lokasi yang menempatkan kesemua peserta TPPA Malaysiakini sempat bertanyakan kepada Mohammad Abdullah, 63, dari Batu Burok, Terengganu.

Menurut Abdullah, beliau sebenarnya tidak faham tentang apa yang dikatakan kerajaan mengenai TPPA.

Malah, Abdullah mendakwa beliau juga tidak tahu langsung apakah kebaikan serta keburukan pelaksanaan TPPA.

"Tak tahu apa itu TPPA dan tak faham pun. Datang sini pun ikut orang," katanya ringkas kepada Malaysiakini.

1:55pm - Jalan Tuanku Abdul Rahman: Kumpulan di sini yang meningkat kepada kira-kira 300 orang di luar Maju Junction Mall, mula bergerak ke arah Dataran Merdeka.

Dengan diketuai oleh aktivis PSM, Khalid Ismath, mereka berjalan sambil melaungkan "Tolak TPPA" dan "Hidup rakyat"

Sementara itu, NGO hak asasi manusia Suaram menempatkan lapan pegawainya dan 10 pegawai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk memantau protes hari ini.

1:40pm - Masjid Negara: Kumpulan besar berpakaian hijau PAS, berkumpul di masjid untuk solat Zohor. Jumlah hadirin semakin bertambah dengan lebih 1,000 penyokong PAS.

Mereka melaungkan "Allahu Akbar" selepas solat, tetapi kekal tenang.

1:30pm - Dataran Merdeka : 1.30pm: Dataran Merdeka: Kira-kira 50 peserta telah berkumpul di Dataran Merdeka termasuk penjaja yang menjual baju anti-tPPA, vuvuzelas dan minuman.

Polis telah menyekat laluk ke Dataran Merdeka dengan meletakkan penghadang besi setinggi 200cm dan roadblock biasa di kedua-dua belah pintu masuk Dataran Merdeka.

Polis juga menutup Jalan Raja Laut dan Jalan Parlimen untuk menghalang kereta menuju ke Dataran Merdeka.

Pasukan unit amal PAS berbaju merah juga kelihatan bertugas di sini, kira-kira enam orang daripada mereka berdiri di depan penghadang besi.

Keadaan di sini tenang dengan bunyi vuvuzelas kedengaran ditiup sekali sekala.

1:25pm - Maju Junction: Kira-kira 100 orang berkumpul sambil memegang sepanduk menolak TPPA.

Mereka sedang bersiap sedia menuju ke arah Dataran Merdeka selepas solat zohor, kata ahli Jawatankuasa Pusat PSM, S Arutchelvan.

Apabila ditanya sama ada mereka akan menghala ke Dataran Merdeka atau Padang Merbok, sambil tersenyum beliau berkata:

"(Dataran Merdeka) adalah tempat yang terdekat dari ini."

Polis menegaskan supaya tempat perhimpunan itu tidak diadakan di dataran tersebut tetapi di Padang Merbok yang tidak jauh lebih situ.

1pm - Masjid Negara: Lebih 400 orang yang berpakaian hijau PAS berkumpul di Masjid Negara, dan bersiap sedia untuk bergerak.

Kebanyakan mereka berlindung dari cuaca yang panas di dalam masjid, manakala yang lain berada di perkarangan masjid di mana terdapat para peniaga di situ.

Peniaga menjual baju-T Anti-TPPA, skarf dan juga ubatan herba.

Ahli PAS dari Klang, Arifin, 60, menjangka perhimpunan hari ini akan berjalan secara aman.

"Orang PAS tak buat masalah," katanya kepada Malaysiakini.

12.40pm - Dataran Merdeka : Polis telah menyekat dua laluan masuk ke Dataran Merdeka dari akhir Masjid Negara.

12.30pm - Antara kumpulan protes yang dijangka berhimpun di Dataran Merdeka ialah PAS, AMANAH, PERKASA, BERSIH, ISMA dan PSM.

Dan mereka menentang TPPA atas sebab-sebab yang berbeza.

Kumpulan seperti PERKASA dan ISMA khuatir TPPA akan menghakis hak-hak Melayu.

Manakala yang lainnya seperti PSM, AMANAH, BERSIH berkata TPPA tidak menguntung rakyat atas pelbagai sebab, menjadikan kehidupan lebih sukar dalam situasi ekonomi yang merisaukan.

Cukup menarik untuk melihat bagaimana mereka akan bekerjasama.

Polis telah memberi amaran dan melarang perhimpunan itu diadakan di Dataran Merdeka, dan sebaliknya menasihatkan mereka berhimpun di Padang Merbok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS