Keputusan negara untuk menghantar manusia ke angkasa lepas pada tahun 2007 adalah satu kejayaan negara, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata demikian selepas melihat baju angkasa yang digunakan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor semasa misi di atas kapal Rusia Soyuz TMA-11 hampir sedekad lalu.
"Apabila kita dapat hantar angkasawan ke angkasa lepas, itu sudah kira satu kejayaan sebab tidak ramai manusia di dunia dapat dilancar dengan roket untuk dihantar ke ISS," katanya.
Sambil mengakui kos berkenaan adalah tinggi, Dr Mahathir berkata jika negara tidak melakukannya, negara akan ketinggalan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu tahu keutamaan perbelanjaan dan kos pasti akan menjadi lebih tinggi hari ini.
"Bagi kerajaan hari ini, keutamaan adalah untuk melabur dalam bidang ini dan dapatkan pendapatan tambahan," katanya.
Mahathir yang dianggap Sheikh Muszaphar sebagai 'bapa angkasalepas' Malaysia telah menerima kunjungan hormat daripada angkasawan pertama negara itu dan angkasawan Rusia Salizhan Sharipov.
Sheikh Muszaphar baru-baru ini membeli pakaian angkasanya dan akan melawat ke sekolah-sekolah dengan pakaian tersebut.