ULASAN Beberapa negara maju telah pun melaksanakan dasar pekerjaan lebih manusiawi dengan mengurangkan tempoh masa bekerja berbanding lapan jam seperti yang diamalkan sejak sekian lama.
Di Sweden, tahun lalu, dilaporkan bahawa negara itu meluluskan masa bekerja selama enam jam sehari. Keputusan itu dibuat berdasarkan kajian yang mendapati tempoh masa bekerja yang pendek menjadikan pekerja lebih gembira, peratusan berhenti kurang dan keuntungan syarikat naik sehingga 25 peratus.
Namun, banyak negara-negara lain, terutama negara membangun, masih mengekalkan tempoh bekerja yang panjang. Di Malaysia, masa bekerja secara rasmi masih ditetapkan selama lapan jam. Ini tidak termasuk kerja lebih masa yang memakan masa 10 jam atau dalam sesetengah kes sehingga 12 jam sehari.
Di negara kita, perjuangan kesatuan sekerja untuk menuntut masa bekerja enam jam bukan merupakan perkara baru. Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) misalnya telah membangkitkan desakan itu sejak 15 tahun lalu.
Dalam kenyataan Oktober tahun lalu, presidennya Mohd Khalid Atan sekali lagi menyatakan sokongan MTUC sekiranya kerajaan dan majikan berhasrat berbuat demikian. Menurut Mohd Khalid, tuntutan mengurangkan waktu bekerja daripada 48 jam kepada 40 jam seminggu adalah demi kebaikan pekerja di negara ini, terutamanya dari aspek kesihatan.
Malangnya, saranan itu nampaknya tidak disambut sama ada oleh pihak kerajaan mahupun swasta. Ketika cadangan seumpama itu tidak mendapat reaksi, ada pula timbalan menteri mencadangkan supaya orang ramai melakukan dua atau tiga pekerjaan sehari.
Bayangkan, jika masa yang diambil bagi satu jenis pekerjaan adalah antara lapan hingga 10 jam sehari, berapa banyakkah pula masa yang dihabiskan untuk melakukan dua atau tiga kerja?
Masalah sosial
Kebanyakan ibu bapa moden menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja berbanding waktu bersama keluarga di rumah dengan keluar bekerja awal pagi dan balik pula selepas malam menjelang.
Ini tidak termasuk masa yang terbuang di atas jalan raya menuju ke tempat kerja dan masa yang diambil untuk pulang semula ke rumah. Sudahlah penat bekerja, terpaksa pula mengharungi kesesakan lalulintas yang menyakitkan hati.
Bila sampai ke rumah, anak sudah tidur atau hanya sempat bersua muka untuk seketika waktu. Jika nasib tidak baik, mungkin tidak dapat bertemu anak-anak dalam tempoh beberapa hari.
Tidak seperti dahulu, kualiti masa bersama keluarga dan anak-anak kini semakin terhad. Tumpuan kepada anak-anak hanya biasanya diberikan pada hujung minggu. Dalam kes lebih menyedihkan, ada anak-anak yang merasa terabai kerana ibu bapa lebih mementingkan kerja. Keadaan ini akhirnya mewujudkan masalah-masalah lain seperti gejala sosial.
Tempoh masa bekerja yang panjang, tekanan di tempat kerja dan ditambah pula dengan persekitaran yang tidak membantu, maka tidak menghairankan sekiranya golongan pekerja di negara ini hidup dalam keadaan tertekan.
Barangkali sebab itulah, negara seperti Belanda tersenarai sebagai negara paling bahagia di dunia. Salah satu sebabnya adalah struktur pekerjaan di negara itu yang lebih fleksibel dan tidak membebankan.
Memetik laporan majalah The Economist tahun lalu, sebanyak 26.8 peratus lelaki dan 76.6 peratus wanita Belanda menghabiskan waktu bekerja kurang daripada 36 jam seminggu atau purata kira-kira lima jam sehari.
Produktiviti menurun?
Hujah yang mengatakan masa bekerja yang singkat akan mengurangkan produktiviti syarikat, tidak lagi relevan dan sentiasa boleh diperdebatkan. Memang terdapat kajian menunjukkan produktiviti bekerja sebaliknya lebih meningkat jika waktu bekerja dipendekkan.
Bukan sahaja produktiviti, bahkan ada kajian mendapati syarikat mendapat keuntungan sehingga 25 peratus selepas mengambil langkah berkenaan. Ini tidak menghairankan kerana apabila pekerja bekerja dalam suasana yang lebih selesa dan gembira, produktiviti kerja sudah pasti bertambah.
Selain itu, tekanan kerja juga dapat dikurangkan apabila pekerja mempunyai lebih banyak waktu untuk melakukan aktiviti seperti bersukan dan beriadah bersama keluarga.
Apabila pekerja sihat, sekali gus produktiviti juga meningkat. Keadaan ini akan mengurangkan kos kesihatan yang ditanggung akibat pelbagai penyakit kerana gaya hidup kurang sihat dan tidak bersukan.
Maka terpulang kepada kerajaan sekiranya mereka berminat untuk melaksanakan dasar bekerja enam jam sehari. Tetapi berdasarkan situasi semasa, nampak gayanya perkara itu tidak akan terjadi.
Yang nyata, lain pula berlaku. Di sebalik harapan agar Malaysia menuju ke arah penduduk berpendapatan tinggi dengan masa bekerja yang singkat, rakyat pula disuruh melakukan lebih daripada satu pekerjaan.
Dahulu kita membayangkan di tahun 2020 nanti, robot mungkin mengambil alih tugas dan kerja kita, sambil kita pula duduk senang lenang. Tapi kita mungkin silap. Barangkali di tahun itu nanti, kita sebenarnya yang menjadi robot kerana melakukan dua tiga kerja sehari.