Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui banginda sentiasa meniru amalan amalan bola sepak yang disukai dari negara lain sebagai antara cara meningkatkan mutu bola sepak tempatan.
Baginda bertitah demikian berikutan dakwaan portal pro-Umno, Mykmu yang mendakwa syarikat jenama sukan gergasi Nike mungkin menyaman Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) kerana konsep video pelancaran jersinya hampir sama dengan iklan Nike.
Portal itu bagaimanapun menarik balik artikel tersebut dengan alasan ia mengelirukan orang ramai bahawa Nike akan menyaman PBNJ.
Tunku Ismail, yang juga bekas Presiden PBNJ mengakui bahawa baginda meniru idea dari Sepanyol, Jerman dan juga kelab-kelab bola sepak AC Milan dan Juventus sebelum ini.
“Lihat juga bas kami, kami mengikuti reka bentuk AC Milan dan Juventus di mana mereka meletakkan logo mereka yang besar di belakang bas pasukan mereka.
“Semua ini adalah untuk kebaikan bola sepak tempatan. Saya akui bahawa saya telah banyak belajar dari semua negara-negara yang jauh di hadapan kita,” katanya dalam Facebook Johor Southern Tigers, malam semalam.
Malangnya, titah baginda, ada sesetengah pihak dan individu yang tidak senang dengan pasukan bolasepak JDT dan mempersoalkan dan mengkritik segala yang dilakukannya.
Itulah sebabnya, kata baginda adalah amat sukar bagi negara untuk bergerak ke hadapan kerana kumpulan berkenaan yang memberi tumpuan kepada ‘perkara-perkara remeh dan tidak berfaedah’.
“Sedihnya, saya mempunyai ramai kawan dari pelbagai kaum, tetapi kaum saya sendiri yang mempersoalkan Institusi Diraja dan pasukan bola sepak, sedangkan saya tidak melihat kaum lain mengutuk perkara ini.
“Mereka lebih berusaha untuk mencari rezeki demi keluarga mereka, sedangkan kaum saya berusaha untuk membunuh sesama sendiri. Ini adalah kelemahan orang Melayu sejak dahulu lagi,” katanya.
Sehubungan itu, baginda mengajak mereka yang mahu negara ini maju ke hadapan dan mahu keadaan bola sepak untuk terus membangun, menukar mentaliti dan minda mereka.