Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guru dakwa bapa murid serangnya, polis nafi isu kaum
Diterbitkan:  Jan 14, 2016 9:13 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Seorang guru sekolah rendah Cina di Johor membuat laporan polis terhadap bapa kepada seorang murid yang didakwa menyerangnya.

Salina Daud, 49, membuat laporan polis semalam selepas lelaki itu didakwanya menyerbu masuk bilik guru dan melemparkan buku serta peralatan pengajaran ke atasnya.

Salinan laporan itu dimuat naik di beberapa blog dan mengundang komen berbaur perkauman. Walau bagaimanapun, polis menafikan perkara berkenaan.

"Pada 13 Januari, kira-kira jam 12:20 tengahari bapa pelajar itu telah dan menyerang saya, sambil membaling buku-buku dan alatan mengajar saya di bilik guru,” kata Salina dalam laporannya.

Ketika mengajar di kelas, 5 Januari lalu, Salina, yang mengajar di SJK C Pai Chee, Mersing mendakwa anak lelaki itu telah mengutuknya dalam bahasa Cina.

Dia kemudian mengadu kepada guru kelas murid itu mengenai kejadian tersebut tetapi mendakwa tiada tindakan diambil.

"Saya tidak gembira kerana pentadbiran sekolah tidak melindungi saya sebagai seorang guru di sekolah," katanya.

Salina juga mendakwa ini bukan kali pertama kejadian seperti itu berlaku dan menuduh guru besar sekolah berkenaan sebelum ini cuba memaksanya meletakkan jawatan atau memindahkannya dan dua orang guru Melayu yang lain.

Dia juga mendakwa guru besar sekolah itu berkata bahawa masyarakat Cina di kawasan itu tidak mahu guru-guru Melayu mengajar di sekolah.

Salina berkata beliau membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatannya dan dua rakan-rakannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, M Kumar memberitahu Malaysiakini kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, tidak ada sentuhan fizikal atau kecederaan dalam kejadian itu.

"Ini tidak seharusnya dijadikan isu perkauman. Ia hanya kebetulan bahawa guru itu berbangsa Melayu dan bapa murid itu adalah Cina.

"Siasatan awal mendapati bapa murid itu kecewa kerana guru itu memarahi anaknya," katanya kepada Malaysiakini.

Pihak sekolah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya. Guru Besar menamatkan panggilan sebaik sahaja mengetahu sedang bercakap dengan wartawan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS