Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) Noor Azimah Abdul Rahim menyifatkan novel Pantai Kasih sebagai teks sastera pelajar tingkatan empat tidak lucah.

Sebaliknya, Noor Azimah berkata novel komponen sastera (Komsas) itu boleh menarik minat membaca di kalangan pelajar.

“Lucah ke novel itu? Saya rasa tak lucahlah. Saya rasa ini satu topik yang pelajar boleh berhubung (dengan karya sastera).

“Saya rasa tak ada bahan lucah langsung. Cuma ini mungkin satu cara untuk menarik minat pelajar membaca,” kata Azimah kepada Malaysiakini .

Pantai Kasih karya Azmah Nordin itu dilapor viral di media sosial apabila kesesuaiannya dijadikan bahan bacaan pelajar tingkatan empat kerana didakwa mengandungi unsur lucah.

Babak dipertikaikan itu berkaitan hubungan intim serta gaya hidup mewah antara doktor dan jururawat.

Antara petikan ayat yang terkandung dalam buku tersebut berbunyi:

“Bagaikan tidak dapat ditangguhkan lagi, Doktor Sadiz sudah tidak mampu mengawal nafsunya. Raiha telah menjadi mangsa kerakusannya. Tanpa sebarang perencanaan dan tanpa kerelaan Raiha, terlucutlah sel daripada genetik ‘istimewa’ milik Doktor Sadiz ke dalam badan Raiha.

“Doktor Sadiz terus menyeringai dan terus giat menyempurnakan autopsi ataupun bedah siasat ke atas jasad Raiha yang terhimpit dan terlentang di atas lantai lif itu”.

Rata-rata pengguna Internet menyifatkan peribadi watak yang ditonjolkan dalam novel ini tidak memberi sebarang menjadi teladan yang baik kepada pelajar.

Mengulas lanjut, Azimah bagaimanapun berkata, lebih mudah membincangkan topik yang mudah difahami pelajar

“Mungkin juga di usia ini (novel) sesuai untuk pelajar kerana mereka rata-ratanya berada dalam alam cinta mencintai,’ kata Azimah.

Azimah berkata sekiranya Pantai Kasih mempunyai unsur lucah sudah pasti Kementerian Pendidikan terlebih dahulu akan meneliti kandungannya.

Kementerian bentuk JK khas

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, kementerian dilapor mengarahkan sebuah jawatankuasa khas dibentuk bagi menyiasat dakwaan itu.

“Saya akan arahkan pegawai meneliti perkara ini berdasarkan beberapa aspek termasuk tema, unsur bahasa dan jalan cerita,” timbalan menterinya P Kamalanathan dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro .

“Sebuah jawatankuasa dibentuk untuk meneliti dakwaan ini dan saya akan respons semula dalam tempoh terdekat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS