Pada tahun ini, Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memfokus membanteras jenayah sosial media kerana menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, rakyat Malaysia disifatkan kurang matang dalam mengendalikannya.
Menurut kajian antarabangsa, katanya, seramai 14 juta rakyat di negara ini mempunyai Facebook dan memberi komen yang tidak elok di aplikasi berkenaan.
“Jadi untuk 2016 dan seterusnya kita hendak ubah sedikit fokus kita, masih lagi pada jenayah dan kita tambah dengan ancaman media sosial yang kita lihat sekarang ini melampaui batas.
“Ini menunjukkan kurang matang rakyat kita dalam media sosial ini dan kita juga perlu mengekang akibat daripada 'overzealousness' dalam membuat posting di media sosial boleh menyebabkan gangguan kepada ketenteraman awam, kekecohan agama dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat di Bukit Aman pagi tadi.
Jelasnya lagi, penyiasatan yang mendalam terhadap pengguna media sosial dapat mengekang salah guna aplikasi tersebut demi menjaga keharmonian negara ini.
“Ini juga untuk mengelak mereka salah guna media sosial untuk menyebabkan tidak tenteram dalam negara kita ini dan juga kita masih mengekalkan penyiasatan berkesan dalam siasatan jenayah,” katanya.