Aktivis Badrul Hisham Shaharin berkata beliau tidak akan menyerahkan bukti berkaitan dakwaannya mengenai isu pembalakan di Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard (foto) berkata, gesaan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali supaya beliau menyerahkan dokumen berkenaan kepada SPRM mungkin 'satu perangkap'.
"Tak ada kena mengena dengan SPRM. Nak beri tender adalah hak kerajaan negeri. Persoalannya ialah sama ada tender terbuka atau tidak.
"Adakah tujuan Azmin memancing saya ke SPRM menyerahkan dokumen yang saya ada sebagai perangkap untuk mengunci dokumen tersebut di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009?," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .
Badrul berkata akta itu menyebut dengan jelas laporan atau bukti yang diserahkan dalam laporan ke SPRM adalah diklasifikasikan rahsia dan salah untuk menerbitkannya semula.
Malah, Badrul sekali lagi menggesa supaya ADUN Bukit Antarabangsa itu mengklasifikasikan dokumen tersebut sebagai dokumen awam bagi membuktikan bahawa Azmin tidak berbohong.
"Mengaku atau tidak (beri tender) atau buka dokumen ini kepada awam dan kita tengok siapa sebenarnya yang betul," katanya lagi.
Semalam, Badrul mengemukakan bukti serta menyerahkan kepada SPRM jika benar memiliki surat tender rundingan terus dalam projek pembalakan negeri dan bukan "menyalak" kepada pihak media.
Ia ekoran dakwaan Badrul yang mengatakan kerajaan Selangor berbohong mengenai tender pembalakan dua bidang tanah melibatkan projek jajaran talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Chubadak dan Mahkota Cheras, Kuala Lumpur.