Sekolah Rendah Agama (SRA) Kafa Integrasi Sungai Kapar Indah Klang terpaksa meneruskan sesi pembelajaran yang bermula hari ini di sebuah rumah kedai.
Ia ekoran bangunan lama yang selama ini di tumpang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapar Indah tidak lagi muat untuk menampung lebih 700 murid.
Exco kerajaan negeri Selangor Dr Daroyah Alwi berkata, inisiatif untuk menyewa rumah kedai itu dilakukan oleh pengetua, pengerusi, guru-guru serta ibu bapa pelajar-pelajar berkenaan.
“Inisiatif segera ini juga diambil setelah pihak pentadbiran SRA menerima keputusan dari pentadbiran SK agar mencari premis lain kerana masalah-masalah tertentu.
“Satu tempoh masa telah diputuskan untuk mereka tidak lagi beroperasi di sana serta mengosongkan premis berkenaan,” katanya.
Terharu dengan kesungguhan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan pihak pentadbiran bersama Persatuan Ibu bapa Dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Daroyah meminta pihak yang ingin menyalurkan bantuan segera menghubungi pihak pengurusan sekolah berkenaan.
“Masih terdapat banyak kemudahan-kemudahan asas pembelajaran yang masih belum tersedia kerana kekangan kewangan yang dihadapi.
“Oleh yang demikian, besar harapan saya sekiranya mana-mana badan korporat, anak-anak syarikat, organisasi mahupun orang persendirian yang berhajat dapat bersama-sama menyalurkan bantuan demi meringankan beban dalam usaha memastikan proses pembelajaran tidak terhenti dan akan berterusan,” katanya.
Sementara itu, Daroyah berkata pihaknya bersama NGO sedang giat membantu dalam proses pembersihan semula bangunan tinggal yang kini disewa untuk dijadikan kelas.
“Kebersamaan kami ini adalah sebagai suntikan semangat terutamanya kepada pihak pentadbiran dan guru-guru agar tidak mudah putus asa dan terus bersungguh-sungguh menyemai bakti mengajar anak-anak bangsa walaupun dalam persekitaran yang kurang lengkap,” katanya.