Kerajaan Selangor didakwa berbohong mengenai tender pembalakan di dua bidang tanah melibatkan projek jajaran talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Chubadak dan Mahkota Cheras di Kuala Lumpur.
Aktivis Badrul Hisham Shaharin mendakwa mempunyai surat berstatus rahsia yang membuktikan dua syarikat dianugerahkan kontrak membalak secara rundingan terus dan bukan tender terbuka.
“Di sini saya tegaskan Azmin menipu dalam kenyataan medianya apabila dia menyatakan syarikat yang memperoleh kawasan balak itu mendapatkannya melalui tender terbuka,” kata pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu.
Bekas pemimpin pusat PKR itu yang lebih dikenali sebagai Chegubard itu bagaimanapun berkata tidak boleh mendedahkan surat itu yang dilabel rahsia.
Badrul ( gambar ) mencabar Azmin mengklasifikasikan semula dokumen itu sebagai dokumen awam bagi membolehkan isi kandungannya didedah kepada awam.
“Saya cabar kamu (Azmin) kena tarik ada tender terbuka, kena minta maaf bukan kepada saya tetapi kepada orang awam yang kamu tipu,” katanya.
Azmin sebelum ini dilapor menegaskan semua projek pembalakan di negeri dibuat secara tender terbuka sejak tahun 2008 oleh Jabatan Perhutanan Negeri.
Menurutnya, menteri besar tidak pernah terlibat dalam proses tersebut dan pihaknya tidak turut serta dalam jawatankuasa tender berkenaan.