Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Musang berbulu ayam: Polis arah ketua PPIM beri keterangan

Polis telah mengarahkan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan untuk tampil memberi keterangan berhubung dakwaan bahawa ada anggota polis bersubahat dalam kes penipuan terutamanya di Kompleks Kota Raya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata Nadzim sepatutnya membenarkan polis untuk menyiapkan siasatan berhubung kejadian itu termasuk membabitkan ahli kumpulan persatuan pengguna itu.

"Saya telah memanggil Nadzim selepas membaca wawancaranya di Utusan Malaysia , di mana beliau berkata terdapat ‘musang berbulu’ dalam pasukan polis.

"Saya mahu tahu siapa yang dimaksudkannya itu.

"Dia boleh beri maklumat tersebut kepada saya atau pergi membuat aduan dengan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” kata Tajudin kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.

Dalam laporan Utusan hari ini, Nadzim melahirkan kebimbangan bahawa mungkin ada anggota polis yang terlibat dalam aktiviti haram seperti pusat perjudian.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sesetengah pengusaha premis berani melakukan penipuan secara terang-terangan seperti ada yang melindungi mereka.

Sementara itu, Tajudin berkata tangkapan ahli PPIM baru-baru ini adalah sebahagian daripada siasatan polis.

"Penahanan itu dibuat untuk membantu siasatan. Biar kami lengkapkan siasatan dan jangan sebarangan mengulas mengenai kes itu," katanya.

Tambahnya, seorang lelaki akan didakwa di mahkamah Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan menipu dalam pergaduhan di kompleks Kota Raya itu.

"Dia akan didakwa mengikut Seksyen 415/417 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Kami sedang mencari seorang lagi suspek," kata ketua Polis Kuala Lumpur itu.

Kota Raya adalah menyaksikan satu perbalahan pada 20 Disember lalu apabila mangsa yang mendakwa ditipu cuba berdepan dengan beberapa peniaga dan pekerja sebuah kedai telefon mudah alih. Dua lelaki cedera ringan dalam pergaduhan yang tercetus kemudian itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS