Komuniti ASEAN ditubuhkan secara rasminya semalam, dengan Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2015 mengalu-alukan peristiwa penting itu dalam sejarah persatuan 10 negara Asia Tenggara itu.
Sehubungan itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengulangi sokongan padu Kuala Lumpur untuk terus memperkukuh proses pembangunan komuniti dan integrasi serantau.
Beliau turut menzahirkan iltizam sama dalam melaksanakan komitmen yang dinyatakan dalam dokumen "ASEAN 2025: Bersama Maju Ke Hadapan".
"Malaysia sedar penubuhan Komuniti ASEAN tidak bermakna yang proses pembangunan komuniti ini telah selesai.
"Malah, ini hanyalah permulaan. Kesedaran mendalam mengenai Komuniti ASEAN dan penglibatan warga ASEAN dalam proses pembangunan komuniti ini adalah amat penting bagi menjayakan Komuniti ASEAN," katanya dalam kenyataan.
Komuniti ASEAN telah dilancarkan oleh para pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur pada 22 Nov lepas.
Anifah berkata sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada negara-negara anggota lain hingga berjaya menyempurnakan dua keberhasilan utamanya.
Keberhasilan utama itu adalah memastikan pelaksanaan baki Pelan Tindakan Komuniti ASEAN (2009-2015) dan memuktamadkan Visi Komuniti ASEAN Pasca 2015–ASEAN 2025: Bersama Maju ke Hadapan.
Visi Komuniti ASEAN itu merangka hala tuju persatuan itu dalam tonggak-tonggak komuniti politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya bagi 10 tahun akan datang.
"Oleh itu, Malaysia amat berbesar hati di atas kejayaan memikul tanggungjawabnya sebagai pengerusi ASEAN, pada masa ASEAN memulakan era barunya," kata Anifah.
ASEAN dianggotai oleh Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Pengerusi ASEAN bagi 2016 ialah Laos.
- Bernama