Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) bimbang dengan pelaksanaan Akta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) 2015 mulai 1 Januari 2016 nanti.

Akta ini akan memberi kuasa kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk mengambil alih segala urusan berkaitan pentadbiran, pengurusan dan pemberian pembiayaan perumahan kakitangan awam daripada Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia (BPP).

Beberapa peruntukan di dalam akta tersebut dilihat memberi kuasa yang luas kepada menteri kewangan dan pengurusan LPPSA sendiri untuk melakukan segala perkara yang perlu atau sesuai bagi tujuan pelaksanaan fungsi LPPSA di bawah Akta tersebut.

Kuasa tersebut termasuklah kuasa untuk membuat sebarang dasar mengenai kemudahan pembiayaan perumahan kakitangan awam (Seksyen 21), meluluskan pinjaman oleh LPPSA (Seksyen 32), meluluskan pelaburan oleh LPPSA (Seksyen 33), memberi arahan kepada lembaga (Seksyen 36) dan kuasa untuk menggunakan semua harta LPPSA.

Ini termasuklah hartanah yang digadaikan oleh kakitangan awam kepada LPPSA atas pembiayaan yang diberikan, mengikut cara yang sesuai seperti menggadaikan/ mensekuritikan harta LPPSA tersebut bagi tujuan mendapatkan wang atau membuat pelaburan yang bersesuaian [Seksyen 7(2)].

Dengan kuasa yang sebegitu luas, peruntukan itu boleh disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu dan secara tidak langsung boleh memberi kesan dan menjejaskan kepentingan dan hak kakitangan awam yang membuat pinjaman tersebut.

Lebih-lebih lagi, tidak dinyatakan di dalam akta tersebut bahawa pembiayaan perumahan di bawah LPPSA ini akan mengekalkan semua terma dan syarat pembiayaan perumahan di bawah BPP sebelum ini. Semuanya adalah atas budi bicara LPPSA sepenuhnya dan tertakluk kepada kelulusan menteri kewangan.

Ertinya, tiada jaminan di bawah akta tersebut bahawa terma dan syarat kelulusan pembiayaan seperti jumlah kelayakan pembiayaan, kadar faedah 4 peratus, syarat kelulusan, tempoh pembiayaan, dokumentasi pembiayaan serta terma dan syarat lain bagi pembiayaan perumahan di bawah BPP sebelum ini secara automatik dikekalkan. Ia tertakluk sepenuhnya atas budi bicara LPPSA dan kelulusan menteri.

Setiausaha Bahagian Pinjaman Perumahan Perbendaharaan, Norsimah Ab Wahab baru-baru ini bagaimanapun menyatakan bahawa kadar faedah pinjaman perumahan kakitangan awam masih sama biarpun LPPSA mengambil alih pinjaman perumahan kakitangan awam daripada BPP.

Akta itu sendiri membenarkan LPPSA membuat pinjaman untuk meningkatkan dana kewangan mereka, serta menubuhkan syarikat di bawahnya untuk menjalankan apa-apa perniagaan yang sesuai dan terlibat dalam pelaburan terhadap harta LPPSA.

Maka sudah pasti ianya akan mendedahkan LPPSA kepada risiko untung dan rugi sama seperti institusi kewangan yang lain.

Sekiranya LPPSA tertakluk kepada risiko untung dan rugi, sudah pasti kadar faedah dan apa-apa polisi berkaitan dengan pinjaman perumahan kakitangan awam kelak secara tidak langsung akan tertakluk dan terkesan juga dengan soal untung dan rugi LPPSA. Akhirnya, dibimbangi kepentingan dan hak kakitangan awam akan terjejas.

Berdasarkan kepada Akta tersebut, mulai daripada tarikh kuatkuasa Akta ini, semua harta, hak, kepentingan, obligasi dan liabiliti kerajaan berkaitan dengan pentadbiran pinjaman perumahan kakitangan awam sebelum ini akan diletakhakkan (dipindahhakkan) sepenuhnya secara otomatik kepada LPPSA.

Ini termasuklah segala urusan berkaitan dengan perjanjian, dokumentasi guaman, prosiding perundangan dan semua perkara yang di bawah obligasi dan liabiliti BPP sebelum ini, akan diserahhakkan kepada LPPSA, seolah-olah LPPSA adalah pihak yang sah terhadap perjanjian atau dokumentasi guaman tersebut, tanpa perlu LPPSA memberi notis kepada mana-mana pihak.

Dan apabila dilaksanakan nanti, pihak-pihak terbabit akan tertakluk kepada bidang kuasa dan budi bicara LPPSA sepenuhnya sebagaimana yang termaktub dalam Akta LPPSA.

Perkara di atas ada asasnya, dimana baru-baru ini misalnya LPPSA sendiri telah mengeluarkan satu peraturan baru terhadap para peguam yang ingin mengendalikan urusan dokumentasi pinjaman perumahan kakitangan awam.

Jika sebelum ini, semua peguam boleh mengendalikan urusan dokumentasi pinjaman perumahan kakitangan awam, tetapi dengan peraturan baru tersebut, hanya peguam panel LPPSA sahaja yang dibenarkan.

Syarat untuk menjadi panel peguam LPPSA juga begitu ketat seperti mensyaratkan firma guaman tersebut mestilah telah ditubuhkan melebihi tujuh tahun. Firma itu juga mesti mempunyai sekurang-kurangnya lima orang peguam bertauliah dan salah seorang rakan kongsi firma guaman tersebut hendaklah mempunyai 10 tahun pengalaman amalan perundangan.

Peraturan ketat ini dilihat akan menutup periuk nasi firma guaman kecil yang kebanyakannya adalah firma guaman bumiputra.

Maknanya, jika peraturan dan syarat-syarat berkenaan dengan kelayakan peguam untuk menyediakan dokumentasi pinjaman pun boleh diubah sewenang-wenangnya oleh LPPSA, tidak mustahil jika peraturan dan syarat kelulusan pinjaman seperti kadar faedah dan terma-terma berkaitan pengurusan pinjaman juga boleh diubah dan dipinda oleh LPSA dari masa ke semasa.

Oleh yang demikian kerajaan perlu menangguhkan dahulu pelaksanaan akta tersebut dan pengambil alihan pinjaman perumahan kakitangan awam oleh LPPS sehingga satu kajian mendalam dilakukan.

Kakitangan awam, para peguam hartanah, pihak insurans / takaful dan lan-lain pihak yang berkepentingan di dalam urusan berkaitan pinjaman kakitangan awam hendaklah dirujuk terlebih dahulu sebelum ianya dilaksanakan oleh kerajaan.

Ini untuk memastikan bahawa pelaksanaannya kelak tidak akan memberi kesan kepada pihak-pihak yang berkenaan dan sekali gus dapat melindungi hak dan kepentingan kakitangan awam itu sendiri


SALKUKHAIRI ABD SUKOR presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS