Walaupun Perhimpunan Agung Umno ke-69 telah berakhir, namun masih ada lagi ketua cawangan yang mendesak agar presiden parti Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.
Kali ini, ia dilakukan oleh lima cawangan Umno di bahagian Gombak iaitu cawangan Delima Lembah Keramat, Kampung Kemensah Hilir, Jelatek Permai, Lakeview Batu Caves dan Taman Melawati.
Bagaimanapun ketika sidang media di Taman Melawati berlangsung, terdapat seorang individu yang dilihat cuba "mengganggu" program berkenaan.
Namun, tiada sebarang kekecohan berlaku memandangkan orang ramai yang hadir pada sidang media tersebut menenangkan individu berkenaan.
Lelaki yang mengenakan baju merah itu dilihat tiba ke lokasi sebelum sidang media bermula.
Selepas ditenangkan orang ramai yang juga ahli Umno, lelaki itu kemudian hanya berdiri untuk mendengar sidang media dan kemudian beransur pergi dari situ.
Sementara itu, menurut jurucakap ketua cawangan tersebut, Hamdan Abd Rahman, pihaknya telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan yang ada sekarang.
Katanya, apa yang lebih penting sekarang ialah parti bukannya individu yang ada di dalam parti tersebut.
"Kita perlu mengamalkan budaya memetingkan parti lebih daripada individu (dalam parti).
"Dalam keadaan sekarang parti lebih penting daripada presiden parti," katanya dalam sidang media malam ini.
Selain itu beliau turut mempersoalkan penyata kewangan yang tidak dibentangkan semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
"Perhimpunan kali ini bendahari tudak membentangkan penyata kewangan tahunan seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Apa yang hendak disorokkan?" soalnya.
Sebelum ini, seramai 13 ketua cawangan Umno sekitar kawasan Telok Kemang mendesak Najib berbuat demikian.
Malah, sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 cawangan Umno di Sepang turut menggesa perkara yang sama.
Ia turut diikuti oleh cawangan Umno dari Johor Bharu dan Puchong.