Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib ingatkan adab Melayu tak lutu, tak balun
Diterbitkan:  Dec 12, 2015 5:49 PM
Dikemaskini: 11:36 AM

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak membazirkan masa dengan memulakan ucapan penggulungan dalam persidangan hari akhir Umno dengan mempertahankan diri.

Tanpa menyebut nama, perdana menteri mengingatkan bahawa orang Melayu diajar supaya hormat orang lain dan taatkan pemimpin.

Katanya, ajaran Islam sendiri menyebut apabila dikhabarkan sesebuah berita, ia hendaklah disiasat terlebih dahulu sebelum dipercaya bulat-bulat.

Beliau merujuk kepada isu kontroversi syarikat pelaburan negara sarat hutang 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Beliau juga mengingatkan bahawa menjadi adap orang Melayu menegur dengan cara bersopan.

"Dia tak lutu, dia tak tibai, dia tak balun," katanya.

Kata perdana menteri itu lagi beliau kini memilih untuk "berjiwa besar" dan menghulur silaturahim untuk mengukuhkan parti.

"Saya Najib Razak sebagai presiden Umno memilih untuk berjiwa besar, saya memilih berjiwa besar menghulur silaturahim mengukuh Umno," katanya.

Berat semasa bangun

Namun, kata Najib menegaskan, dalam semangat itu pun ada pihak yang bertentangan dengannya "menolak titik perdamaian Umno".

Malah, anggota Parlimen Pekan itu berkata sekiranya selepas ini masih ada pihak yang menentang beliau ia sebenarnya menolak titik persamaan.

"Kalau ada yang menentang bermakna bukan sahaja tentang Najib Razak sebagai presiden parti malah ternyata menolak untuk mencari titik persamaan," kata Najib.

Seusai mengeluarkan kata-kata itu perdana menteri mengajak semua pemimpin Umno serta perwakilan parti supaya bersama-sama berdamai.

Ketika semua pemimpin tertinggi parti Melayu itu bangun menyahut seruan Najib, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berbuat demikian namun kelihatan agak perlahan berbanding pemimpin lain.

Muhyiddin akhirnya bangun dan menghulurkan tangan bersalaman dengan Najib, namuan kedua-dua mereka tidak berpeluk seperti tradisi dilakukan sebelum ini.

Detik itu sekaligus meyemarakkan suasana Dewan Merdeka dengan temukan gemuruh daripada perwakilan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS