Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan tidak perlu menghapuskan tol lebuh raya di negara ini tetapi cukuplah jika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak tidak lagi menaikkan kadar bayaran tol tersebut serta beberapa kenaikan lain.

Ini kerana, menurut Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, rakyat sudah tidak lagi dapat menerima apa yang berlaku hari ini.

“Kami tidak minta dimansuhkan itu dan ini, tetapi pemuda ingin memberitahu kepimpinan parti dan kerajaan - cukuplah! Hentikan semua kenaikan ini. Jangan ada kenaikan lagi,” kata Khairy ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Justeru, anggota Parlimen Rembau itu mengingatkan pentadbiran Umno-BN akan Aku Janji BN sebelum ini.

“Saya selaku Ketua Pemuda Umno mengingatkan kabinet tentang Aku Janji BN. Kalau terpaksa naikkan tol, jangan sampai tol antara bandar seperti Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur dinaikkan. Itu janji kita.

“Dan pada hari ini saya ingin tegaskan, pemuda bantah apa jua kenaikan tol selepas ini baik untuk dua lebuh raya antara bandar ini, mahupun mana-mana lebuh raya sekalipun,” tegas Khairy.

Segala langkah pedih

Jelas menteri belia dan sukan itu lagi, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya akan datang, Pemuda Umno hanya mahu mendengar perkara yang baik saja daripada kerajaan bagi menyenangkan hati rakyat.

“Dua tahun akan datang ini, oleh kerana kita sudah membuat segala penjimatan melalui GST, pemotongan subsidi, kenaikan tarif, tambang, tol dan sebagainya. Pemuda hanya mahu mendengar berita yang baik-baik dan menyenangkan rakyat sahaja.

“Inilah masanya kita gunakan segala penjimatan yang dikatakan kita perolehi daripada segala langkah pedih ini untuk menggembirakan rakyat. Tunjukkan bahawa langkah penjimatan selama ini boleh membawa kebaikan pada mereka,” ujarnya.

Tambah Khairy lagi, bagi mengurangkan beban orang muda, Khairy menggesa agar kerajaan menyediakan diskaun khusus untuk golongan berkenaan menggunakan pengangkutan awam.

“Selama ini bila tol naik, kita minta anak muda guna pengangkutan awam. Tapi sekarang, lepas kita naikkan harga tol, tambang komuter, tambang ERL, segala-gala tambang pun naik juga. Apa lagi pilihan yang ada pada rakyat, nak suruh mereka jalan kaki?" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS